Wednesday, April 13, 2011

Menangis.....

Semalam mama berpeluang melayari beberapa laman blog yang mengusik jiwa dan naluri keibuan mama. Gara-gara ingin mencari maklumat mengenai breastfeeding ni, mama terpanggil untuk membaca entri yang telah ditulis oleh seoarang ibu mengenai puterinya Alanna. Blog ini mama dah pernah layari , seingat mama pada tahun lepas, kira penghujung tahun. Masa tu mama sedang mengandungkan adik Auni.

Berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitulah yang dirasai oleh Puan Ayu sekeluarga kerana kehilangan puterinya. Bila mama baca luahan hati kerinduannya...aduhai, mengalir air mata mama, sehingga abang Muaz dan Kakak hanan perasan yang mama sedang menangis. Sayup apabila melihat wajah mulus dan suci si kecil itu. Luluh hati apabila mendengar keluhan rindu seorang ibu. Tatkala itu mama membayangkan puteri kecil mama Auni, dan mama membayangkan anak2 mama yang lain. Ya Allah sesungguhnya setiap ujianmu itu adalah untuk menambah keimanan kami terhadapmu. Tidaak ada hambamu di dunia ini yang hidup tanpa diuji. Setiap hambamu akan menerima ujian yang berbeza2 mengikut kemampuan hambanya. Mungkin puan Ayu sekeluarga adalah hambanya yang terpilih melalui ujian ini, biarpun luarannya kita nampak dia menangis tetapi Allah maha mengetahui, bahawa sebenarnya beliau lebih kuat daripada mama.

Catatan ibu Alanna, membangkitkan rasa keinsafan pada diri mama. Menghargai siapa yang berada disisi kita. Menyayangi dengan penuh keikhlasan anugerah yang telah diberinya. Memang terkadang, dek kerana kepenatan dan masalah sendiri, anak2 selalunya menjadi mangsa. Mungkin mangsa leteran, pukulan, cubitan atau gertakan. Tetapi suami selalu memujuk mama agar sabar melayani karenah anak-anak, sebab di situ Allah ingin beri pahala buat kita sebagai ibu. Mama tak dapat membayangkan bagaimana anak2 kecil yang sanggup didera oleh ibu bapa mereka sendiri. Tidak terasakah sakitnya ketika melahirkannya? Mama sendiri masih lagi merindui saat2 Auni kali pertama singgah di rahim mama, membesar, seterusnya melahirkannya. Rindu saat itu, suatu pengalaman yang cukup indah bagi insan bergelar ibu.

Sebenarnya masih ramai ibu2 di luar sana yang sanggup berkorban jiwa dan raganya buat anak2 yang dicintai. Mama sendiri, andai anak2 mama diserang demam, mamalah orang yang paling risau. Mana ada ibu yang sanggup melihat anak yang dikandung selama sembilan bulan menderita sakit. Andai boleh ditukar ganti sudah pasti ibulah yang akan sanggup penderitaan anaknya ditanggung olehnya dan biarkanlah anaknya sihat. Itu pengorbanan seorang ibu. Tetapi bagaimana pula pengorbanan seorang anak terhadap ibunya? Mampukah kita menjaga mereka sedetail mereka menjaga kita semasa kecil? Subhanallah...moga2 Allah kurniakan buat mama kekuatan untuk menjaga ibu dan bapa mama sehingga ke hayat yang terakhir.

Biar apapun yang datang, kehidupan harus diteruskan. Mama cukup kagum dengan ibu2 yang "terpilih", menjaga anak2 kecil yang diserang penyakit kronik, malah ibu2 yang memiliki anak2 istimewa. Benar kata suami , semuanya itu adalah ganjaran syurga buat mereka. Tidak semua ibu di dunia ini mampu melaluinya. Mama sendiri tidak sekuat itu. Doa mama semoga Cikgu Murne , ibu Alanna dan yang lain beroleh kekuatan dan sesungguhnya Allah itu tidak menguji hambanya melainkan mengikut kemampuannya. Subhanallah, alangkah kerdilnya diri ini ya rabbi.

No comments:

Memories....