Friday, March 25, 2011

Ahlan wasahlan Ya AUNI HAYATI

Anakku, seharusnya dikau dijangka lahir pada 18/03/2011. Itu jangkaan seorang doktor yang bergelar manusia. Namun segalanya sudah tertulis bahawa dikau lahir pada ketetapan yang telah ditentukan oleh yang maha esa.

Auni Hayati, seindah namamu yang dipilih oleh abah dan mama yang bermaksud "kelembutan kehidupanku", saat usiamu 37 minggu dirahim mama, dikau sudah bersedia untuk berjihad memegang amanah Allah, melihat keindahan dunia ciptaan Allah yang selalu Auni dengar tatkala mama bercerita bersama abang Nukman. Pagi 26/02/11, mama menerima tanda bahawa Auni sudah bersedia untuk lahir. Ketika itu Auni, jam masih menunjukkan pukul 1.15 pagi. Abang Muaz, Nukman dan kakak Hanan sedang lena dibuai mimpi. Abah pula baru selesai menyiapkan assigment masternya. Belum sempat abah melabuhkan badannya, mama terasa sakit. Abah sedikit panic, maklum sajalah hospital yang dipilih untuk melahirkanmu agak jauh , lebih kurang 1 jam perjalanan dari rumah kita. Namun abah dapat atasi situasi ini dengan tenang. Setelah segala persiapan dibuat, perjalanan dimulakan dengan menghantar abang Muaz dan Nukman serta kakak Hanan ke rumah nenek Jun, barulah abah hantar mama ke Puteri Specialist Hospital. Ketika itu jam hampir menunjukkan jam 3 pagi, tenang, sejuk dan jalan raya agak lengang. Sesekali mama dapat rasakan Auni mengeras tanda kontraksi. Sepanjang perjalanan ke PSH, mulut mama tak habis2 membaca ayat suci agar urusan mama pada hari itu dipermudahkan.

Sampai di hospital, abah menemani mama di labour room ditingkat 3. Namun, kuasa Allah lebih segala2nya. Bukaan rahim mama baru sahaja 1.5cm. Mama mengambil keputusan untuk ditahan di wad 319B. Mama membayangkan proses bersalin ini pasti mudah sebagaimana proses melahirkan abang Nukman 3 tahun yang lalu. Jam 4.30 pagi, mama sudah menjadi penghuni baru di wad 319B. Suasana cukup sunyi, sesekali terdengar suara tangisan bayi kecil di bilik sebelah. Alahai indahnya saat itu, mama hanya terfikir, bilalah giliran mama. Sehingga ke subuh, Auni tidak menunjukkan tanda-tanda kontraksi. Jiran sebelah mama yang baru sahaja sampai telah selamat melahirkan bayi lelakinya. Sedih rasa hati mama. Sayu. Syukur abah ada disaat itu. Dialah kekuatan mama. Sehingga ke waktu siang, mama seperti orang biasa. Tidak ada rasa sakit. Malah mama telah meminta daripada Dr. Laila yang bertanggungjawab menyambut kelahiran Auni untuk pulang sahaja ke rumah memandangkan banyak tugasan sekolah yang belum mama beresi. Namun, atas faktor keselamatan, Dr. Laila tidak mengizinkan mama untuk pulang, tetapi sebagai alternatifnya, mama diizinkan untuk pulang " bercuti" selama beberapa jam di rumah nenek di TSP.

Hmmmmm......siapa tak kenal mama. Agak degil mama ni. Berani mengambil risiko. Puas memujuk abah, akhirnya mama bukan pulang ke rumah nenek, tetapi mama pulang ke rumah kita. Saat itu mama berserah dan bertawakal kepada Allah agar semuanya selamat. Seperti yang mama hajati, sampai dirumah, mama memulakan tugas sebagai suri dengan mengemas, menyapu dan membasuh baju, seperti yang mama lakukan sebelum kelahiran abang2 dan kakakmu. Tujuan mama satu, biar kontraksi itu ada saat mama sibuk bekerja.Lagipun, puas hati mama bila balik dari hospital nanti rumah kita bersih Auni!

Seperti yang dijanjikan, jam 8 malam, sekali lagi mama menyerah diri di wad bersalin . Alangkah sedihnya mama kali ini kerana bukaan rahim mama hanya 3cm sahaja. Auni istimewa dirimu nak sehingga mama melalui pengalaman seperti ini. Biarpun rasa sakit itu kerap, namun bukaan rahim mama tetap tidak berganjak. Mama menangis disisi abah, namun abah tetap memberi kata2 semangat dan perangsang buat mama. Betul kata abah, ada hikmah disebalik ujian yang datang. Saat itu mama rasa terlalu dekat dengan abah. Merasai kasih sayang abah sepenuhnya. Menyelami pengorbanan abah dan perasaan abah apabila mama berada di saat genting seperti itu.Dan paling bermakna beginilah nasib yang nenek lalui saat melahirkan mama. Ya Allah , betapa besarnya pengorbanan seorang ibu, justeru itu martabat ibu dikau letakkan syurga itu di bawah tapak kaki ibu. Ibu tiada galang gantinya. Mama juga berkesempatan menghabiskan bacaan surah yasin, maryam beberapa kali.Indahkan Auni? Malah sepanjang malam itu abah sempat menyiapkan assgmntnya. Kasihan melihat abah tertidur di kerusi.

Jam 12.40 malam, mama dijemput oleh jururawat ke labour room. Seperti yang mama jangka, bukaan rahim mama masih tidak berganjak.Atas nasihat Dr. Laila, mama diberi suntikan agar mama dapat tidur dengan lena, tanpa menyedari bukaan rahim mama menganjak ke 5 cm. Memang sakit, tetapi rasa ngantuk itu lebih hebat daripada kesakitan yang mama rasa. Abah pula, peneman yang paling setia. Tidur di sebelah mama berselimutkan tuala hijau. Rasa dingin di bilik itu!

Jam 5 pagi. Kontraksi semakin kuat. Bukaan rahim telah mencapai 8 cm dan serviks mama sudah bersedia untuk melalui proses bersalin. Abah orang yang tidak putus2 memberi kekuatan buat mama. Hati mama berdoa agar Auni lahir lebih mudah daripada abang Nukman. Jururawat yang bertanggungjawab sudah sedia untuk menyambut kelahiran Auni. Begitu juga Dr. Laila. Hampir 2 jam mama melalui rasa sakit kontraksi. Tetapi yang anehnya, sakitnya masih boleh tertahan. Tidak seperti kelahiran sebelumnya. Mungkin kerana kecanggihan dan alternatif lain yang disediakan oleh pihak PSH bagi meringankan rasa sakit para ibu yang bersalin membuatkan mama masih boleh mengawal keadaan. Saat melayan rasa sakit kontraksi yang semakin kuat, azan subuh telah berkumandang. Abah terpaksa meninggalkan mama sebentar bagi menunaikan amanah Allah. Mama berdoa, agar abah sempat untuk menyaksikan kelahiran Auni di dunia ini. Syukur alhamdulillah, akhirnya tepat jam 6.42 pagi, Auni lahir dengan selamat bersaksikan abah, mama, jururawat dan Dr. Laila. Keperitan yang mama tanggung terubat apabila mendengar tangisan Auni dan melihat sendiri Auni dibersihkan disebelah mama. Tak tahu mama nak luahkan perasaan itu. Biarpun Auni bukan kelahiran pertama, tetapi setiap kehamilan dan kelahiran anak2 mama adalah kenangan terindah buat mama. Paling terindah dan tak mungkin mampu dijual beli.

Anakandaku Auni, seberat 2.99 dikau paling kecil dan mulus di antara abang2 dan kakakmu. Kelahiranmu amat kami nantikan......tiada apa yang mama dan abah harapkan, melainkan dikau bakal menjadi permata hati yang solehah, taat akan perintah Allah, rasulmu, mama dan abah, serta berjaya dalam kehidupanmu di dunia jua di akhirat. Auni Hayati, semoga kesihatan mengiringimu, moga dikau menjadi harta paling berharga buat mama dan abah apabila mama dan abah memejamkan mata buat selama2nya. Yasmin, Muaz, Nukman dan Auni dikaulah permata mama dan abah.Mama sayang anak2 mama.

No comments:

Memories....