Friday, April 29, 2011

Makanan yang boleh menambah susu

Assalamualaikum

Huh.....setelah penat melayan karenah anak2 sepanjang 1 hari
Barulah mama berpeluang berblogging semula
Inipun setelah mandikan baby Auni , menyusu dan tertido
Setelah merotan abang Muaz yang bergasak dengan Nukman sehingga benjol kepala
Setelah dan banyak setelah
Senang kata kijer kat umah ni, takkan habis sehingga hari esok.

Namun, sempat gak mama mencari2 maklumat mengenai makanan2 yang dapat menambah air susu badan.
Maklum, mama dalam proses menyusukan Auni secara esklusif, tanpa ada susu formula baby.
Mama kena cuba, sehingga berjaya.
kalau ramai orang lain boleh, mama juga can do it!
Insya Allah.
Jom mama2 yang lain kita lihat adakah makanan ini ada dalam pola pemakanan kita seharian.




* Makan banyak makanan mengandungi vitamin B seperti kekacang, dal.
* Kurma – makan begitu sahaja atau dihancurkan sedikit dan dimasukkan ke dalam susu panas.
* Jambu batu, betik – makan begitu sahaja.
* Lobak putih, peria – dijadikan jus atau sup.
* Sawi, kacang panjang, kacang buncis, jagung muda – goreng atau sup.
* Daun atau pucuk meranti masak lemak putih, tumis air atau goreng.
* Klorofil
* Chlorella
* Oat – dijadikan minuman, biskut, bubur atau salutan pada makanan sebelum dimasak.
* Madu – gunakan sebagai pemanis dalam minuman, sapuan pada roti atau cicah pada lempeng susu beroat
* Air longan – boleh beli longan kering dari pasaraya dan direbus sehingga kembang.
Longan kering salah satu bahan dalam air laichikang

* Red raspberry leaves – suplemen dari farmasi
* Halba – direndam dalam air mendidih atau dimasukkan ke dalam masakan.
* Habbatus sauda atau jintan hitam.
* Barli – air atau bubur barli.
* Pucuk manis – masak lemak bersama ubi keledek.
* Pucuk pegaga – dijadikan ulam atau jus.
* Jantung pisang dicelur atau masak lemak.
* Daun kucai – goreng bersama tauge dengan tauhu dan tempe.
* Pucuk betik atau bunga betik jantan.
* Air soya dan produk soya seperti tauhu, taufufa, tempe
* Air horlicks
* Susu dan produk tenusu
* Teh hijau jepun
* Makanan mengandung yis seperti roti, donut, tapai pulut dan sebagainya.
* Bawang putih mengandungi banyak sulfur yang bagus untuk sendi dan membantu penghasilan susu.
* Ubat homeopati.

Thursday, April 28, 2011

Allahu yusahil a'laihi .....

Hari ini abah Auni akan melalui examnya
Mama tak pasti paper ptg ni bersama Dr zaiton@Rahim@Dayang
Yang pasti ini, hari ini first paper buat abah.

Pagi2 lagi abah Auni dah pegi ke UTM ngan acik Don
Acik Don kawan baik abah Auni
Dialah juga teman pembakar semangat abah Auni
Setiap petang Isnin, Selasa dan Jumaat
Dialah yang akan bersama abah Auni
Senang cakap di mana ada abah, disitu ada acik Don :)

Pejam celik2 sudah separuh perjuangan abah Auni
Insya Allah, panjang umur , murah rezeki
Habislah pengajian abah Auni untuk second degreenya
Insya Allah mama akan menyusul pula
Semoga Allah mudahkan urusan kami

Ya Allah kurniakan kejayaan buat abah Auni
Begitu juga sahabatnya
Moga2 Allah mudahkan urusan abah Auni
Kami iringi doa buatmu
Kami menyokongmu
Kami akan tetap bersamamu......

Kita merancang, Allah tentukan.

Auni tengah tido tu. shssssssssssssss......




Assalamualaikum

Moga2 pagi Jumaat ini memberikan kerahmatan buat kita semua, amin....
Semalam usia Auni sudah 61 hari.
Syukur, alhamdulillah.
Sepatutnya Auni kena imunisasi bagi usia 2 bulan.
Tapi, tak buat sebab Auni demam panas, 39C.
Kasihan lihat Auni, doktor Zalia kasi Auni ubat, doktor suruh mama lapkan badan Auni sampai suhu turun.
Kali ni Auni tak jumpa Dr. Ismail, sebab abah Auni nak pereksa esok......
Itulah dia, kita mampu merancang, tapi Allah tentukan.

Balik rumah, mama terus tanggalkan pakaian Auni.
Tinggal pampers je.
Auni budak yang baik.
Auni tak merengek pun.
Auni boleh senyum ngan mama, bual2 ngan mama.
Mama lega bila Auni boleh buat itu ini.
Doktor kata, Auni jangkit abang Nukman.
Mungkin juga Auni nak ringankan badan, nak buat macam2......
Itulah dia, kita mampu merancang, Allah yang tentukan.


Sepatutnya juga, semalam abah Auni stay kat maktabah
Tapi bila dia lihat Auni demam
Abah tak sampai hati
Abah study je kat umah
Dengan macam2 dugaan buat abah
tapi abah Auni kuat semangat orangnya
Dia cepat dapat macam arnab, mama pula macam kura2
Tapi abah Auni bukan arnab yang sombong itu
Moga2 abah dipermudahkan Allah menjalani urusannya, kerana dia telah memudahkan urusan keluarganya.
Begitulah ia, kita mampu merancang, allah yang menentukan.

Semalam juga ( 28/4/11 ) mama dapat anak sedara baru
Seorang lelaki, bermakna anak sedara mama belah mama dah dua!
Kalau belah abah Auni dah 4+1=5
Itu pun insya Allah bulan 8 nanti
Bermakna, Auni ada dua kawan
macam abang Nukman, di apit Mukmin dan Haikal
Baby ni dijangka lahir 13 hb Mei
Macam adik Auni , lahir awal 2 minggu
Itulah dia, kita mampu merancang, Allah yang tentukan........

Wednesday, April 27, 2011

Bila mama cuti panjang .....

jam antik idaman mama, baru dapat 2 hari yang lepas.


cermin corak ros - jawhari jati ( tq hubby )

deco2 ala-english mama, konon2 je (ruang tamu rasmi )




Assalamualaikum.....

Hahaha....moga2 anak2 mama sihat semuanya ya.
Begitulah kalau mama dah cuti 3 bulan, macam2 dalam kepala.
Mula2 nak buat itu, lepas tu, nak buat ini.
Start dari habis pantang sampailah sekarang, dalam kepala ni bercabang2 nak decor2 umah.
Mama ni jenis minat decor2 ala-english, tapi taklah sepenuhnya, maklum anak2 tengah kecil,yang penting abah suka dan mama paaaaalinnngggg suka. Anak2 ? Dorang pun suka!
Itulah dia, bila mama balik kije, mama suka tengok umah cantik dan kemas.
Taklah minta abah bina mahligai mewah atau banglo besar buat mama.
Yang paling utama, kemas dan bersih.
Mama sukakan teratak mama yang cukup sederhana ni.
Bersyukur atas apa yang Allah beri.
Menginjak usia perkahwinan 10 tahun, baru dapat apa yg mama inginkan.
Bonda dan ayahanda mama, anak2 dah besar dan kerja baru rasa nikmat merasainya.
Tapi mereka tetap bahagia, sebab mereka berpegang, kaya raya bukan asas untuk bahagia.
Paling utama percaya dan serah diri pada yang esa.
Sebab Allah yang beri peluang ini pada hambanya........
Moga mama bahagia dan bersyukur dengan apa yang ada......

Tuesday, April 26, 2011

Bukan senang untuk senang ....

Assalamualaikum

Sudah beberapa hari mama tak berkesempatan menulis catatan dalam Diari hati Mama ni. Sibuk...sibuk....., itu sahaja yang mampu mama katakan. Ya, sibuk mengurus anak-anak yang semakin meningkat usianya dan bertambah jumlahnya. Aduhaiii...bukan senang untuk senang ya. kena lalui ini semua baru nampak akan hasilnya.

Cuti 3 bulan cukup bermakna buat mama. Macam2 pro dan kontranya diperkatakan. Apapun bagi pihak mama, peluang yang tidak selalu datang ini akan mama manfaatkan bersama anak2 yang mama kasihi. Siapa kata mama tak merindui anak2 di sekolah sana? Rindu itu tetap ada, rindu untuk mencurah ilmu lagi bersama mereka, tetapi mama juga punya anak2 disini yang amat memerlukan perhatian emosi, jasmani dan rohani mereka. Itulah dia bukan senang untuk senang!

Beberapa hari kebelakangan ini mama terlalu sibuk memantau perkembangan sesi bercerita si kakak. Semalam pertama kali dalam hidup kakak, dia beraksi secara individu dalam dalam acara bercerita kisah-kisah nabi bagi peringkat zon. Oklah tu. Mulanya mama memang taknak beri dia masuk, memandangkan keputusan ujian tempohari amat mengecewakan. Agaknya cam tulah bonda mama rasa ya time mama main2 dulu. Hmm, kini tiba giliran mama melaluinya semula. tapi bila abah pujuk2 mama, kasi kakak peluang mama pun setuju. Walaupun kakak berjaya mendapat cenderamata, namun bagi mama bukan itu sasarannya. Apa yang mama mahu , kakak kena belajar mengutip pengalaman di situ, serta apa yang kakak lalui semua ini merupakan satu disiplin buat kakak.

Hmm, yang ini pula pasal abang Muaz. Umur dah 6 tahun, tapi setiap hari nak kena bebel ngan mama pasal tengok tv je. Anak lelaki begitulah. Kalau anak perempuan, kita selalu bermain emosi, anak lelaki pula dengan kenakalannya. Kadang-kala geram bila dia tak dengar cakap. Setiap hari mama nak kena ingatkan pasal homework ada atau tidak. Tapi istimewanya abang Muaz ni, dia cepat dapat apa yang kita ajar. Bak kata abahnya, Muaz ni otak sains, kakak ni otak sastera, sebab kakak mudah menghafal.

Bulan ni sahaja, abang Nukman mudah sangat kena selsema dan demam. Kasihan mama tengok dia. tak taulah apa yang dia makan kat umah pengasuh. Kalau dengan mama, ais-krim, air batu, air sejuk, jajan dan gula2 adalah makanan larangan. Sebab tu kat peti sejuk takder benda alah tu. Tapi tak tahulah kalau kat sana. Moga2 abang Nukman cepat sembuh ya........

Pasal adik Auni pulak....semalam Auni panas sikit. nasib baik kat umah ada termometer digital. Kat umah ni dah macam pra-klinik. Maklum, anak2 semua tengah kecil2. Perlu ada benda2 yang asas. Semalaman mama tak boleh tido. Tapi, syukur, adik auni bukan jenis merengek. Mama hanya kasi dia minum BF je. Sebab mama yakin tiada ubat yang paling berkhasiat melainkan susu mama buat adik Auni.

Itulah bak kata org tua2...bukan senang nak senang......memang ada anak kecil ni begitu. Sakitnya, ragamnya, aduhai...kena banyak sabar.....mudah2an mama terus sabar ya :))

Monday, April 18, 2011

Bonda vs Cincong ......

Jam 11.20 tadi mama dapat satu panggilan talifon. Time tu mama tengah sibuk kat luar sidai baju baby Auni. Maklum sejak semalam, mama tak berkesempatan mengurus rumahtangga dengan sempurna. Semuanya hanya kerana baby Auni yang tak mau tido walaupun mama dah kasi nenen kat dia. Hehehehe...nak pandai agaknya mama punya little pricess tu. Bila dengar je bunyi rington lagu ibu nyanyian kumpulan nasyid Aiman, mama terus angkat, manalah tau emergecy calling. Rupa-rupanya bonda mama yang talifon.

Bonda saja bertanya khabar tentang abang Nukman yang demam semalam. Tanya, manalah tau dah elok ke belum. Alhamdulillah , pagi tadi dah kurang sikit. Rupa-rupanya bonda nak kongsi sedihnya ngan mama pasal " cincong" kucing kesayangannya.

Innalillahi wainnailaihirojiun.....

Itu yang mampu mama ucapkan, biarpun dia hanya seekor kucing yang naif, yang sudi berkongsi kasih , kegembiraan , manja, dan perhatian. Sedih juga mama bila dengar suara bonda yang sedih tu. Mama tahu bagaimana perasaannya. Cinconglah tempat dia meluah kerinduan pada anak2 yang mula sibuk dengan urusan kehidupan, pada cucu yang kadang-kala bertamu rindu di hati. Pada seekor kucing inilah dia berkongsi rasa, suka, duka, rindu dan sebagainya. Mama masih ingat, hari Ahad yang lepas ni, sempat jugak mama main ngan cincong.Tegur2dia sebab semakin gemuk. Mama gelar dia anak angkat bonda, sebab dia memang manja.

Dari seekor anak kucing tersesat, dia, bonda ambil sebagai "anak". Bonda jaga dia macam dia jaga kami. Bonda mama memang penyayang orangnya. Sangat penyayang pada budak2 dan haiwan. Itulah kelebihan bonda. Bila mama dengar suara sebaknya, mama pun mula sensitif nak menangis. Tapi mama tahan agar keadaan tak terus menjadi pilu. Mama hanya mampu cakap, " ada hikmahnya, mak, mungkin tahun ni mak dapat pergi haji agaknya. Nanti kalau cincong ada, mak ngan abah gi haji, siapa nak jaga cincong? kami jauh, tak dan nak balik selalu tengok dia. Nanti kesian dia...Yang penting Allah lagi sayang kat dia. "

Itu kisah bonda kehilangan kucing tersayang. Bagaimana pula kisah ibu yang kehilangan anaknya? Namun yang pasti, biarpun dia hanya seekor kucing, dia juga makhluk Allah yang ingin disayangi. Bila dengar kisah cincong kena langgar ngan abah, mama teringat suami mama terlanggar seekor anak kucing di laman rumah. Memang sudah takdir agaknya, mama ketika tu 5 bulan mengandungkan adik Auni. Bukan sengaja ketika itu, malah sebelum abah pergi kerja setiap pagi, kerja mama adalah tengok setiap tayar dah bawah kereta, kot2 ada anak2 kucing yang tumpang berteduh. Tapi begitulah jika sudah ketentuan.

Kisah cincong ni membuatkan mama lagi beringat, bahawa mati itu bila2 masa sahaja dengan kehendakNYA. Itu cincong yang telah selamat bersemadi menemui si penciptaNYA. Mama pula? Moga2 Allah memberikan mama peluang untuk menabur bakti dan mengumpul pahala sebelum kembali dijemputnya. Aduhaiii...takutnya......

Wednesday, April 13, 2011

Menangis.....

Semalam mama berpeluang melayari beberapa laman blog yang mengusik jiwa dan naluri keibuan mama. Gara-gara ingin mencari maklumat mengenai breastfeeding ni, mama terpanggil untuk membaca entri yang telah ditulis oleh seoarang ibu mengenai puterinya Alanna. Blog ini mama dah pernah layari , seingat mama pada tahun lepas, kira penghujung tahun. Masa tu mama sedang mengandungkan adik Auni.

Berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitulah yang dirasai oleh Puan Ayu sekeluarga kerana kehilangan puterinya. Bila mama baca luahan hati kerinduannya...aduhai, mengalir air mata mama, sehingga abang Muaz dan Kakak hanan perasan yang mama sedang menangis. Sayup apabila melihat wajah mulus dan suci si kecil itu. Luluh hati apabila mendengar keluhan rindu seorang ibu. Tatkala itu mama membayangkan puteri kecil mama Auni, dan mama membayangkan anak2 mama yang lain. Ya Allah sesungguhnya setiap ujianmu itu adalah untuk menambah keimanan kami terhadapmu. Tidaak ada hambamu di dunia ini yang hidup tanpa diuji. Setiap hambamu akan menerima ujian yang berbeza2 mengikut kemampuan hambanya. Mungkin puan Ayu sekeluarga adalah hambanya yang terpilih melalui ujian ini, biarpun luarannya kita nampak dia menangis tetapi Allah maha mengetahui, bahawa sebenarnya beliau lebih kuat daripada mama.

Catatan ibu Alanna, membangkitkan rasa keinsafan pada diri mama. Menghargai siapa yang berada disisi kita. Menyayangi dengan penuh keikhlasan anugerah yang telah diberinya. Memang terkadang, dek kerana kepenatan dan masalah sendiri, anak2 selalunya menjadi mangsa. Mungkin mangsa leteran, pukulan, cubitan atau gertakan. Tetapi suami selalu memujuk mama agar sabar melayani karenah anak-anak, sebab di situ Allah ingin beri pahala buat kita sebagai ibu. Mama tak dapat membayangkan bagaimana anak2 kecil yang sanggup didera oleh ibu bapa mereka sendiri. Tidak terasakah sakitnya ketika melahirkannya? Mama sendiri masih lagi merindui saat2 Auni kali pertama singgah di rahim mama, membesar, seterusnya melahirkannya. Rindu saat itu, suatu pengalaman yang cukup indah bagi insan bergelar ibu.

Sebenarnya masih ramai ibu2 di luar sana yang sanggup berkorban jiwa dan raganya buat anak2 yang dicintai. Mama sendiri, andai anak2 mama diserang demam, mamalah orang yang paling risau. Mana ada ibu yang sanggup melihat anak yang dikandung selama sembilan bulan menderita sakit. Andai boleh ditukar ganti sudah pasti ibulah yang akan sanggup penderitaan anaknya ditanggung olehnya dan biarkanlah anaknya sihat. Itu pengorbanan seorang ibu. Tetapi bagaimana pula pengorbanan seorang anak terhadap ibunya? Mampukah kita menjaga mereka sedetail mereka menjaga kita semasa kecil? Subhanallah...moga2 Allah kurniakan buat mama kekuatan untuk menjaga ibu dan bapa mama sehingga ke hayat yang terakhir.

Biar apapun yang datang, kehidupan harus diteruskan. Mama cukup kagum dengan ibu2 yang "terpilih", menjaga anak2 kecil yang diserang penyakit kronik, malah ibu2 yang memiliki anak2 istimewa. Benar kata suami , semuanya itu adalah ganjaran syurga buat mereka. Tidak semua ibu di dunia ini mampu melaluinya. Mama sendiri tidak sekuat itu. Doa mama semoga Cikgu Murne , ibu Alanna dan yang lain beroleh kekuatan dan sesungguhnya Allah itu tidak menguji hambanya melainkan mengikut kemampuannya. Subhanallah, alangkah kerdilnya diri ini ya rabbi.

Susu ibu buat Auni......


Assalamualaikum.....

Sudah beberapa hari mama agak sibuk menguruskan adik Auni dan abang Nukman bersendirian di rumah tanpa bantuan abah. Selalunya abang Nukman akan di hantar ke rumah "mak"nya sebelum abah ke sekolah, tetapi disebabkan beberapa perkara yang tak dapat di elakkan, maka abang Nukman berada di rumah bersama mama. Bila Nukman di rumah, tau2 sajalah kelasakan hero kecil mama ni. Tak menang tangan dan mulut memantaunya.Tak kering gusi melihat keletahnya, dan tak putus2 menjawab soalannya yang macam keretapi.

Hari ni, syukur alhamdulillah, nampaknya Allah memberi mama sedikit ruang untuk berblogging , berkongsi ilmu yang mama perolehi hari ni. Really2 happy sangat sebab kerisauan, persoalan yang selama ini bersarang dalam kepala otak mama, hampir terlerai. Syukur sangat2.....

Sejak pagi tadi, mama sentiasa mencari2 maklumat mengenai penyususan ibu secara esklusif. Bukan sebelum ini mama tak menyusukan anak2 mama, malah mereka juga memperolehi susu mama sehingga usia 2 tahun, tetapi penyusuan itu digagalkan kerana mama memberi mereka susu formula apabila di rumah pengasuh. Ntahlah kenapa mama tidak berusaha menyusukan 3 permata hati mama itu dengan susu ibu di rumah pengasuh? Mungkin ketika itu, ilmu mama agak cetek....dan mama juga tidak mahu mencarinya, bak kata pepatah, "HENDAK SERIBU DAYA, TAK HENDAK SERIBU DALIH ". Biarpun begitu 3 permata hati mama ini, masih lagi memperolehi susu mama apabila berada di rumah sehinggalah usia mereka menjangkau 2 tahun lebih. Seandainya dapat diputar masa, mama akan buat yang terbaik untuk kakak Hanan, abang Muaz, dan abang Nukman.

Rentetan daripada itu, mama berazam dan teruja untuk menjadikan penyusuan ibu secara esklusif buat baby Auni. Puas mama melayari sesawang FB dan akhirnya mama terjumpa beberapa laman web/ blog yang boleh dijadikan panduan kita bersama khususnya ibu2 yang berazam untuk menyusukan bayinya sehingga 2 tahun secara esklusif. Terima kasih juga buat KIM (kumpulan Ibu2 menyusukan) , disitulah mama banyak peroleh input berguna serta bertukar2 pendapat. Di bawah ni, mama sertakan laman blog/web tersebut...mudah2an sama2 kita perolehi ilmu yang bermanfaat......insya Allah.

http://www.diyaluna.com/diary/2009/01/09/update-ebm/
http://www.momschoice.com.my/blog/?p=214

Demi Auni, mama akan kotakan apa yang mama azamkan....demi anak2 mama yang lain mama juga akan buat yang terbaik untuk kalian. Buat ibu2 / mama2 di luar sana, ayuh kita laksanakan hak2 anak2 kita. Jangan jadikan susu tiada@ tak banyak sebagai halangan untuk tidak menyusukan anak2 kita. Mama rasa kalau ada ibu2 yang hampir berputus -asa untuk breasfeeding anak2 mereka, tetapi setelah mereka membaca blog yang saya lampirkan, sudah pasti hati mereka berbunga kembali. Contohnya mama sendiri, setelah habis membaca dan study untuk kali pertama, oh alangkah mudahnya EBM ( Express Breast Milk). Yang penting, KESABARAN.......serta sokongan daripada suami, teman2, keluarga dan masyarakat sekeliling, sebab apa? Susu ibu susu yang terbaik didunia, tidak perlu modal yang tinggi, tidak perlu bimbang akan kualiti dan kuantiti. Buktinya? Sudah termaktub di dalam al-Quran dan para saintis juga tidak menjumpai susu yang lebih baik dan hebat daripada susu ibu. Subhanallah indahnya ciptaan dan kejadian Allah.

Sunday, April 10, 2011

Rambut.

بسم الله الرحمن الرحيم

Bicara ini mama mulakan dengan kalimah suci dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.

Syukur alhamdulillah, semakin hari mama semakin sihat. Baby Auni pun begitu, semakin kuat menyusu dan mama berharap dapat menyusukan Auni sekurang2nya esklusif selama 6 bulan dan diteruskan sehingga 2 tahun, macam abang2 dan kakaknya, insya Allah.

Erk...apa ya tajuk catatan mama hari ini? Rambut? Rambut siapa? Rambut Aunilah. Baru beberapa hari yang lepas mama berkesempatan menyerahkan rambut Auni yang telah dicukur pada nenek untuk dihantar timbang di kedai emas. Amalan ini bukan sahaja merupakan sebahagian adat melayu, tetapi yang paling penting ia adalah sunnah yang diajar oleh junjungan besar nabi kita Muhamad SAW. Sebagai seorang islam, amalan mencukur rambut ni adalah sebahagian tanda kesyukuran kita kepada Allah kerana telah dikurniakan cahaya mata. Bukan itu sahaja, dalam islam bayi yang baru lahir disunatkan azan ditelinga kanannya, qomat ditelinga kirinya. Sebaik2nya biarlah ayahnya yang buat, tapi kalau tak boleh, mintalah orang lain yang boleh mengazankan dan qomatkan. Semuanya ada hikmah. Takperlah, yang itu akan mama jelaskan di dalam blog yang satu lagi ya?

Bercerita pasal rambut Auni, setelah ditimbang mengikut timbangan emas, semuanya berjumlah 1gram bersamaan RM 157 nilai emas semasa. Jadi duitnya itu layak diberikan kepada fakir miskin, ibu tunggal atau mereka yang betul2 memerlukannya. Tetapi mama belanjakan barang2 keperluan untuk 3 buah keluarga yang mama rasa layak menerimanya. Mudah2an Allah menerima pemberian mama yang tidak seberapa ini dan moga2 Allah kurniakan buat mama anak2 yang soleh dan solehah....amin ya Allah.

Saturday, April 9, 2011

Our little Princess Auni Hayati






Assalamualaikum.....

Syukur alhamdulillah, hari ni mama dah 42 hari berpantang. Kalau mengikut perkiraan orang tua-tua, kira dah habislah tu. Moga2 Allah kurniakan kesihatan yang baik buat mama sekeluarga selepas ini...amin.

Mama perkenalkan wajah puteri mama yang halus mulus ni. Pemegang nama Auni Hayati bt. Abd. Shukor, lahir pada 27/02/2011 di Puteri Specialist Hospital, jam 6.42 pagi seberat 2.99 kg.

Syukran dan terima kasih buat Dr. Laila dan jururawat yang membantu semasa proses kelahiran ini serta Dr. Ismail Haron yang memantau perkembangan Auni sehingga kini. Mudah-mudahan Allah merahmati kalian, amin.....

Wednesday, April 6, 2011

Hujan oh...hujan

Malam semua.....
Hari ini mama dah 39 hari berpantang. Syukur, ketiga-tiga kelahiran anak mama, semuanya abah kalian yang jaga. Bermula dari urusan mama sehinggalah baby. Alhamdulillah kerana Allah kurniakan lelaki terhebat dan penyayang seperti abah buat mama. Semoga sikap abah ini bakal Muaz dan Nukman contohi dan semoga suatu hari nanti puteri-puteri mama dikurniakan suami sesoleh dan sebaik abah, amin ya rabbala'lamin.

Jam dah pukul 8.00 malam. Adik Auni lena dibuai mimpi. Kakak Hanan sibuk menghafal cerita kisah nabi yang bakal dipertandingkan, abang Muaz pula, mama kerah buat homework sebab seharian tidur kerana keletihan berlatih bola sepak untuk game yang akan datang. Abang Nukman pula......................hmmmm, sibuk dengan aktiviti exploracenya yang tak boleh duduk diam. Abah pula, sibuk di kedai atok, mengambil giliran.Kat luar hujan turun dengan lebat .Sejak petang tadi, cuaca kat luar mendung dan gelap. Awan komulonimbus menguasai dada langit. Jam 5 petang sudah seperti waktu malam.

Bila tengok hujan yang belum reda ni, hati mama agak resah sikit. Mama berdoa, moga-moga hujan ini hujan rahmat daripada Allah. Bukan hujan yang membawa kebinasaan. Tengok hujan, mama teringat peristiwa tsunami di Jepun Mac lalu.Tak tahu mengapa fikiran mama boleh begitu. Tapi bagus juga, sekurang2nya tsunami di Jepun memberi impak positif pada diri mama agar sentiasa berfikir bahawa ujian Allah berupa kemewahan atau bala bencana akan berlaku bilamana kehendaknya. Malah, yang paling utama adalah mati itu ada di mana2. Aduhai, mama selalu membayangkan andai kita berada di situasi tersebut, ibarat kata pepatah bagai telur dihujung tanduk, apa yang harus kita buat. Hishhh.......moga2 pejamnya mata mama nanti dengan husnul khotimah, amin ya Allah.

Oklah, mama berhenti seketika disini......panjang umur, ada kelapangan kita bersua pada diari yang akan datang, insya Allah......

Tuesday, April 5, 2011

Auni jumpa doktor....

31/03/2011 - Auni berjalan lagi. Bertemankan mama , abah dan abang Muaz Auni bertemu Dr.Ismail Haron di PSH. Saat ini usia Auni 33 hari.

Auni berbaju pink. Set hadiah acik korea masa majlis Akikah Auni tempohari. Syukur alhamdulillah berat Auni sudah mencapai 3.89 kg daripada 2.99 kg. Dr. Haron kata Auni sihat dan tiada apa-apa masalah. Moga kesihatan sentiasa mengiringimu nak. Cepat besar ya sayang, nanti boleh tolong mama ........ Mama sayang Auni.

Muaz Afifi sudah 6 tahun.......


Syukur alhamdulillah..... 02/03/2011 abang Muaz telah melalui usia 6 tahunnya. Sudah 6 tahun berlalu peristiwa paling bermakna anakku.

Mama masih ingat saat melahirkan Muaz. Muaz lahir ketika usia muaz 37 minggu dirahim mama. Sama macam adik Auni. Muazlah hero pertama mama, dan yang paling abah tunggu2. Pengalaman mengandungkan Muaz cukup indah bagi mama. Saat itu mama masih mengajar di SKTU3. Setiap pagi kita akan naik bas paling awal untuk sampai ke sekolah. Dalam rahim mama lagi Muaz sudah terdidik dengan sikap sabar. Sebab itu kadang-kala kesabaran Muaz tu menyebabkan kakak Hanan suka membuli Muaz.

Muaz lahir di waktu subuh. Sama macam adik Auni. Tapi melahirkan Muaz memang menyakitkan. Mungkin kelahiran anak lelaki pertama. Tapi yang indahnya, hanya Muaz dan Auni sahaja yang abah sempat saksikan kelahiran kalian. Kakak Hanan dan adik Nukman tak berkesempatan. Kenapa? Biarlah mama ceritakan kemudian.

Mama hanya berpantang 40 hari sahaja semasa melahirkan Muaz. Beerti hari ke 41 mama sudah memulakan tugas disekolah. Waktu itu mama bergelar GSTT yang menuntut mama berkorban antara kerjaya dan keluarga. Luluh hati mama bila melihat Muaz perlu di hantar ke rumah pengasuh seawal pagi. Jika mama di beri pilihan, mama sanggup menjaga Muaz sehingga besar, namun keadaan membuatkan mama perlu lebih bertawakal kepada Allah.

Biarpun tarikh keramat itu hadir di saat mama sedang berpantang, namun mama dan abah tetap tidak melupakannya. Bagi mama sambutan hari lahir anak2 mama adalah acara wajib bagi mama biarpun ianya hanya untuk kita sekeluarga. Doa mama, moga Muaz sihat, ceria, rajin belajar dan tahniah daripada mama kerana berjaya mendapat tempat pertama pada peperiksaan akhir tahun 2010 dan tempat ketiga pada peperiksaan peringkat daerah. Muaz kena rajin, baru dapat ganjaran. Sekarang ni mama lihat Muaz dah boleh berkongsi minat dan cerita dengan abah.Pasal bola. Baguslah, boleh jadi teman abah.

Selamat hari lahir sayang!

Memories....