Sunday, April 10, 2011

Rambut.

بسم الله الرحمن الرحيم

Bicara ini mama mulakan dengan kalimah suci dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.

Syukur alhamdulillah, semakin hari mama semakin sihat. Baby Auni pun begitu, semakin kuat menyusu dan mama berharap dapat menyusukan Auni sekurang2nya esklusif selama 6 bulan dan diteruskan sehingga 2 tahun, macam abang2 dan kakaknya, insya Allah.

Erk...apa ya tajuk catatan mama hari ini? Rambut? Rambut siapa? Rambut Aunilah. Baru beberapa hari yang lepas mama berkesempatan menyerahkan rambut Auni yang telah dicukur pada nenek untuk dihantar timbang di kedai emas. Amalan ini bukan sahaja merupakan sebahagian adat melayu, tetapi yang paling penting ia adalah sunnah yang diajar oleh junjungan besar nabi kita Muhamad SAW. Sebagai seorang islam, amalan mencukur rambut ni adalah sebahagian tanda kesyukuran kita kepada Allah kerana telah dikurniakan cahaya mata. Bukan itu sahaja, dalam islam bayi yang baru lahir disunatkan azan ditelinga kanannya, qomat ditelinga kirinya. Sebaik2nya biarlah ayahnya yang buat, tapi kalau tak boleh, mintalah orang lain yang boleh mengazankan dan qomatkan. Semuanya ada hikmah. Takperlah, yang itu akan mama jelaskan di dalam blog yang satu lagi ya?

Bercerita pasal rambut Auni, setelah ditimbang mengikut timbangan emas, semuanya berjumlah 1gram bersamaan RM 157 nilai emas semasa. Jadi duitnya itu layak diberikan kepada fakir miskin, ibu tunggal atau mereka yang betul2 memerlukannya. Tetapi mama belanjakan barang2 keperluan untuk 3 buah keluarga yang mama rasa layak menerimanya. Mudah2an Allah menerima pemberian mama yang tidak seberapa ini dan moga2 Allah kurniakan buat mama anak2 yang soleh dan solehah....amin ya Allah.

Saturday, April 9, 2011

Our little Princess Auni Hayati






Assalamualaikum.....

Syukur alhamdulillah, hari ni mama dah 42 hari berpantang. Kalau mengikut perkiraan orang tua-tua, kira dah habislah tu. Moga2 Allah kurniakan kesihatan yang baik buat mama sekeluarga selepas ini...amin.

Mama perkenalkan wajah puteri mama yang halus mulus ni. Pemegang nama Auni Hayati bt. Abd. Shukor, lahir pada 27/02/2011 di Puteri Specialist Hospital, jam 6.42 pagi seberat 2.99 kg.

Syukran dan terima kasih buat Dr. Laila dan jururawat yang membantu semasa proses kelahiran ini serta Dr. Ismail Haron yang memantau perkembangan Auni sehingga kini. Mudah-mudahan Allah merahmati kalian, amin.....

Wednesday, April 6, 2011

Hujan oh...hujan

Malam semua.....
Hari ini mama dah 39 hari berpantang. Syukur, ketiga-tiga kelahiran anak mama, semuanya abah kalian yang jaga. Bermula dari urusan mama sehinggalah baby. Alhamdulillah kerana Allah kurniakan lelaki terhebat dan penyayang seperti abah buat mama. Semoga sikap abah ini bakal Muaz dan Nukman contohi dan semoga suatu hari nanti puteri-puteri mama dikurniakan suami sesoleh dan sebaik abah, amin ya rabbala'lamin.

Jam dah pukul 8.00 malam. Adik Auni lena dibuai mimpi. Kakak Hanan sibuk menghafal cerita kisah nabi yang bakal dipertandingkan, abang Muaz pula, mama kerah buat homework sebab seharian tidur kerana keletihan berlatih bola sepak untuk game yang akan datang. Abang Nukman pula......................hmmmm, sibuk dengan aktiviti exploracenya yang tak boleh duduk diam. Abah pula, sibuk di kedai atok, mengambil giliran.Kat luar hujan turun dengan lebat .Sejak petang tadi, cuaca kat luar mendung dan gelap. Awan komulonimbus menguasai dada langit. Jam 5 petang sudah seperti waktu malam.

Bila tengok hujan yang belum reda ni, hati mama agak resah sikit. Mama berdoa, moga-moga hujan ini hujan rahmat daripada Allah. Bukan hujan yang membawa kebinasaan. Tengok hujan, mama teringat peristiwa tsunami di Jepun Mac lalu.Tak tahu mengapa fikiran mama boleh begitu. Tapi bagus juga, sekurang2nya tsunami di Jepun memberi impak positif pada diri mama agar sentiasa berfikir bahawa ujian Allah berupa kemewahan atau bala bencana akan berlaku bilamana kehendaknya. Malah, yang paling utama adalah mati itu ada di mana2. Aduhai, mama selalu membayangkan andai kita berada di situasi tersebut, ibarat kata pepatah bagai telur dihujung tanduk, apa yang harus kita buat. Hishhh.......moga2 pejamnya mata mama nanti dengan husnul khotimah, amin ya Allah.

Oklah, mama berhenti seketika disini......panjang umur, ada kelapangan kita bersua pada diari yang akan datang, insya Allah......

Tuesday, April 5, 2011

Auni jumpa doktor....

31/03/2011 - Auni berjalan lagi. Bertemankan mama , abah dan abang Muaz Auni bertemu Dr.Ismail Haron di PSH. Saat ini usia Auni 33 hari.

Auni berbaju pink. Set hadiah acik korea masa majlis Akikah Auni tempohari. Syukur alhamdulillah berat Auni sudah mencapai 3.89 kg daripada 2.99 kg. Dr. Haron kata Auni sihat dan tiada apa-apa masalah. Moga kesihatan sentiasa mengiringimu nak. Cepat besar ya sayang, nanti boleh tolong mama ........ Mama sayang Auni.

Muaz Afifi sudah 6 tahun.......


Syukur alhamdulillah..... 02/03/2011 abang Muaz telah melalui usia 6 tahunnya. Sudah 6 tahun berlalu peristiwa paling bermakna anakku.

Mama masih ingat saat melahirkan Muaz. Muaz lahir ketika usia muaz 37 minggu dirahim mama. Sama macam adik Auni. Muazlah hero pertama mama, dan yang paling abah tunggu2. Pengalaman mengandungkan Muaz cukup indah bagi mama. Saat itu mama masih mengajar di SKTU3. Setiap pagi kita akan naik bas paling awal untuk sampai ke sekolah. Dalam rahim mama lagi Muaz sudah terdidik dengan sikap sabar. Sebab itu kadang-kala kesabaran Muaz tu menyebabkan kakak Hanan suka membuli Muaz.

Muaz lahir di waktu subuh. Sama macam adik Auni. Tapi melahirkan Muaz memang menyakitkan. Mungkin kelahiran anak lelaki pertama. Tapi yang indahnya, hanya Muaz dan Auni sahaja yang abah sempat saksikan kelahiran kalian. Kakak Hanan dan adik Nukman tak berkesempatan. Kenapa? Biarlah mama ceritakan kemudian.

Mama hanya berpantang 40 hari sahaja semasa melahirkan Muaz. Beerti hari ke 41 mama sudah memulakan tugas disekolah. Waktu itu mama bergelar GSTT yang menuntut mama berkorban antara kerjaya dan keluarga. Luluh hati mama bila melihat Muaz perlu di hantar ke rumah pengasuh seawal pagi. Jika mama di beri pilihan, mama sanggup menjaga Muaz sehingga besar, namun keadaan membuatkan mama perlu lebih bertawakal kepada Allah.

Biarpun tarikh keramat itu hadir di saat mama sedang berpantang, namun mama dan abah tetap tidak melupakannya. Bagi mama sambutan hari lahir anak2 mama adalah acara wajib bagi mama biarpun ianya hanya untuk kita sekeluarga. Doa mama, moga Muaz sihat, ceria, rajin belajar dan tahniah daripada mama kerana berjaya mendapat tempat pertama pada peperiksaan akhir tahun 2010 dan tempat ketiga pada peperiksaan peringkat daerah. Muaz kena rajin, baru dapat ganjaran. Sekarang ni mama lihat Muaz dah boleh berkongsi minat dan cerita dengan abah.Pasal bola. Baguslah, boleh jadi teman abah.

Selamat hari lahir sayang!

Friday, March 25, 2011

Ahlan wasahlan Ya AUNI HAYATI

Anakku, seharusnya dikau dijangka lahir pada 18/03/2011. Itu jangkaan seorang doktor yang bergelar manusia. Namun segalanya sudah tertulis bahawa dikau lahir pada ketetapan yang telah ditentukan oleh yang maha esa.

Auni Hayati, seindah namamu yang dipilih oleh abah dan mama yang bermaksud "kelembutan kehidupanku", saat usiamu 37 minggu dirahim mama, dikau sudah bersedia untuk berjihad memegang amanah Allah, melihat keindahan dunia ciptaan Allah yang selalu Auni dengar tatkala mama bercerita bersama abang Nukman. Pagi 26/02/11, mama menerima tanda bahawa Auni sudah bersedia untuk lahir. Ketika itu Auni, jam masih menunjukkan pukul 1.15 pagi. Abang Muaz, Nukman dan kakak Hanan sedang lena dibuai mimpi. Abah pula baru selesai menyiapkan assigment masternya. Belum sempat abah melabuhkan badannya, mama terasa sakit. Abah sedikit panic, maklum sajalah hospital yang dipilih untuk melahirkanmu agak jauh , lebih kurang 1 jam perjalanan dari rumah kita. Namun abah dapat atasi situasi ini dengan tenang. Setelah segala persiapan dibuat, perjalanan dimulakan dengan menghantar abang Muaz dan Nukman serta kakak Hanan ke rumah nenek Jun, barulah abah hantar mama ke Puteri Specialist Hospital. Ketika itu jam hampir menunjukkan jam 3 pagi, tenang, sejuk dan jalan raya agak lengang. Sesekali mama dapat rasakan Auni mengeras tanda kontraksi. Sepanjang perjalanan ke PSH, mulut mama tak habis2 membaca ayat suci agar urusan mama pada hari itu dipermudahkan.

Sampai di hospital, abah menemani mama di labour room ditingkat 3. Namun, kuasa Allah lebih segala2nya. Bukaan rahim mama baru sahaja 1.5cm. Mama mengambil keputusan untuk ditahan di wad 319B. Mama membayangkan proses bersalin ini pasti mudah sebagaimana proses melahirkan abang Nukman 3 tahun yang lalu. Jam 4.30 pagi, mama sudah menjadi penghuni baru di wad 319B. Suasana cukup sunyi, sesekali terdengar suara tangisan bayi kecil di bilik sebelah. Alahai indahnya saat itu, mama hanya terfikir, bilalah giliran mama. Sehingga ke subuh, Auni tidak menunjukkan tanda-tanda kontraksi. Jiran sebelah mama yang baru sahaja sampai telah selamat melahirkan bayi lelakinya. Sedih rasa hati mama. Sayu. Syukur abah ada disaat itu. Dialah kekuatan mama. Sehingga ke waktu siang, mama seperti orang biasa. Tidak ada rasa sakit. Malah mama telah meminta daripada Dr. Laila yang bertanggungjawab menyambut kelahiran Auni untuk pulang sahaja ke rumah memandangkan banyak tugasan sekolah yang belum mama beresi. Namun, atas faktor keselamatan, Dr. Laila tidak mengizinkan mama untuk pulang, tetapi sebagai alternatifnya, mama diizinkan untuk pulang " bercuti" selama beberapa jam di rumah nenek di TSP.

Hmmmmm......siapa tak kenal mama. Agak degil mama ni. Berani mengambil risiko. Puas memujuk abah, akhirnya mama bukan pulang ke rumah nenek, tetapi mama pulang ke rumah kita. Saat itu mama berserah dan bertawakal kepada Allah agar semuanya selamat. Seperti yang mama hajati, sampai dirumah, mama memulakan tugas sebagai suri dengan mengemas, menyapu dan membasuh baju, seperti yang mama lakukan sebelum kelahiran abang2 dan kakakmu. Tujuan mama satu, biar kontraksi itu ada saat mama sibuk bekerja.Lagipun, puas hati mama bila balik dari hospital nanti rumah kita bersih Auni!

Seperti yang dijanjikan, jam 8 malam, sekali lagi mama menyerah diri di wad bersalin . Alangkah sedihnya mama kali ini kerana bukaan rahim mama hanya 3cm sahaja. Auni istimewa dirimu nak sehingga mama melalui pengalaman seperti ini. Biarpun rasa sakit itu kerap, namun bukaan rahim mama tetap tidak berganjak. Mama menangis disisi abah, namun abah tetap memberi kata2 semangat dan perangsang buat mama. Betul kata abah, ada hikmah disebalik ujian yang datang. Saat itu mama rasa terlalu dekat dengan abah. Merasai kasih sayang abah sepenuhnya. Menyelami pengorbanan abah dan perasaan abah apabila mama berada di saat genting seperti itu.Dan paling bermakna beginilah nasib yang nenek lalui saat melahirkan mama. Ya Allah , betapa besarnya pengorbanan seorang ibu, justeru itu martabat ibu dikau letakkan syurga itu di bawah tapak kaki ibu. Ibu tiada galang gantinya. Mama juga berkesempatan menghabiskan bacaan surah yasin, maryam beberapa kali.Indahkan Auni? Malah sepanjang malam itu abah sempat menyiapkan assgmntnya. Kasihan melihat abah tertidur di kerusi.

Jam 12.40 malam, mama dijemput oleh jururawat ke labour room. Seperti yang mama jangka, bukaan rahim mama masih tidak berganjak.Atas nasihat Dr. Laila, mama diberi suntikan agar mama dapat tidur dengan lena, tanpa menyedari bukaan rahim mama menganjak ke 5 cm. Memang sakit, tetapi rasa ngantuk itu lebih hebat daripada kesakitan yang mama rasa. Abah pula, peneman yang paling setia. Tidur di sebelah mama berselimutkan tuala hijau. Rasa dingin di bilik itu!

Jam 5 pagi. Kontraksi semakin kuat. Bukaan rahim telah mencapai 8 cm dan serviks mama sudah bersedia untuk melalui proses bersalin. Abah orang yang tidak putus2 memberi kekuatan buat mama. Hati mama berdoa agar Auni lahir lebih mudah daripada abang Nukman. Jururawat yang bertanggungjawab sudah sedia untuk menyambut kelahiran Auni. Begitu juga Dr. Laila. Hampir 2 jam mama melalui rasa sakit kontraksi. Tetapi yang anehnya, sakitnya masih boleh tertahan. Tidak seperti kelahiran sebelumnya. Mungkin kerana kecanggihan dan alternatif lain yang disediakan oleh pihak PSH bagi meringankan rasa sakit para ibu yang bersalin membuatkan mama masih boleh mengawal keadaan. Saat melayan rasa sakit kontraksi yang semakin kuat, azan subuh telah berkumandang. Abah terpaksa meninggalkan mama sebentar bagi menunaikan amanah Allah. Mama berdoa, agar abah sempat untuk menyaksikan kelahiran Auni di dunia ini. Syukur alhamdulillah, akhirnya tepat jam 6.42 pagi, Auni lahir dengan selamat bersaksikan abah, mama, jururawat dan Dr. Laila. Keperitan yang mama tanggung terubat apabila mendengar tangisan Auni dan melihat sendiri Auni dibersihkan disebelah mama. Tak tahu mama nak luahkan perasaan itu. Biarpun Auni bukan kelahiran pertama, tetapi setiap kehamilan dan kelahiran anak2 mama adalah kenangan terindah buat mama. Paling terindah dan tak mungkin mampu dijual beli.

Anakandaku Auni, seberat 2.99 dikau paling kecil dan mulus di antara abang2 dan kakakmu. Kelahiranmu amat kami nantikan......tiada apa yang mama dan abah harapkan, melainkan dikau bakal menjadi permata hati yang solehah, taat akan perintah Allah, rasulmu, mama dan abah, serta berjaya dalam kehidupanmu di dunia jua di akhirat. Auni Hayati, semoga kesihatan mengiringimu, moga dikau menjadi harta paling berharga buat mama dan abah apabila mama dan abah memejamkan mata buat selama2nya. Yasmin, Muaz, Nukman dan Auni dikaulah permata mama dan abah.Mama sayang anak2 mama.

Friday, March 18, 2011

Fabayer......

Febuari 2011 sudah beberapa minggu melabauhkan tirainya. Rasanya terlalu banyak memoir yang berlaku di bulan Fabayer ini. Sudah tentu banyak post yang ketinggalan. Biarlah mama ceritakan satu persatu bermula di awal Febuari.

Sannah Helwah ya baba......moga abah dikurniakan kesihatan yang baik , keberkatan rezeki, kebahagiaan bersama mak, anak2, menantu serta cucu2 yang menjadi penyeri keluarga dan keturunan kita. Begitulah, saban tahun, setiap kali tibanya 01 Febuari, abah pasti akan belanja makan ahli keluarganya. Kalau tahun lepas abah belanja kami di Setubong, tahun ini abah belanja kami di restoran makanan laut di Impian Emas. Itulah abah, baginya hari lahir adalah hari berkumpulnya anak2, menantu dan cucu. Tergambar kegembiraan abah malam itu, lebih2 lagi bila Uda bawakan birthday kek untuk abah manakala menantu kesayangan abah mengetuai bacaan doa selamat. Rasa2nya malam itu kita sekeluarga menjadi tumpuan mata pelanggan yang datang kesitu.Bukan untuk menunjuk tetapi itulah gambaran kegembiraan dari hati seorang abah. Rasa gembira dan bahagia bila tengok abah gembira........Moga kebahagiaan dan keceriaan ini selamanya menjadi milikmu abah, insya Allah.


Hadirnya 02 Febuari saban tahun mengingatkan aku pada kematian. Syukur alhamdulillah tatkala kelopak mata dibuka, jantung masih boleh berdegup,menghirup nafas tanda syukur yang tidak berbelah bagi atas nikmat usia yang masih lagi dipinjamkan olehNYA. Berkesempatan untuk bersama -sama mereka yang tersayang. Menghargai dan menyayangi.Berbakti selagi hayat dikandung badan agar apa yg dipersembahkan hari ini akan menjadi persembahan yang terbaik di akhirat kelak. Tahun 2011 , aku tidak mengimpikan apa2 hadiah istimewa. Bagiku cukup yang ada. Aku bersyukur dengan nikmat yang kuperolehi ini sehingga kadang2 aku amat takut dengan ujian nikmat ini. Mudah2an kami senantiasa menjadi hambanya yang bersyukur.......amin.Namun, "abang" tetap membuat kejutan. Apakah hadiah itu? Biarlah ianya rahsia. Cukup sekadar JMS 6014. Hadiah yang diberi tidak ternilai dengan kasih sayang yang diberinya. Sesungguhnya aku cukup bahagia bersamanya.

sayang ku..
Aku hanya seorang suami
yang menerima setulus hati seorang isteri.

Janji yang termeterai di musim yang lalu.
Salam ku hulur buat menyapa hatimu nan luhur.

Bersamalah kita harungi derita yang datang.
Bersatulah kita tempuhi nikmat yang bertandang.
Denai perkahwinan pasti dihujani air mata.
Biar kita rasa: Rupanya kebahagiaan rumah tangga itu sangat tinggi maharnya.

Isteri ku sayang…
Tidak abang tagihkan setiamu, sesetia Hawa kepada Adam.
Atau kerinduan menggila Laila yang sangat dalam.

Cuma terimalah kehadiranku seadanya
di sudut tersuci di dalam hatimu…..sebagai seorang isteri sejujur hati.

Hari ni 2.2.2011, adalah hari yang bermakna buat orang yang tersayang iaitu isteriku. abang ucapkan selamat hari lahir yang ke 33, moga dengan ulang kelahiran ni diiringi dengan azam yang baru, abg doakan agar lela dipanjangkan umur, dimurakan rezeki serta di permudahkan segala urusan dunia dan akhirat.

abang.


Ucapan di pagi 2.2.2011 ini adalah yang paling bermakna bagiku....terima kasih sayang.

Memories....