Friday, September 11, 2009

Bicara seorang guru.......

Hari ini masuk hari yang terakhir bagi anak-anak didikku menduduki UPSR bagi tahun ini. Aku tahu ada sedikit gentar dan gelisah bersarang di raut wajah mereka. Namun sebagai seorang guru, merangkap ibu bagi mereka , aku senantiasa mendoakan anak-anak didikku beroleh kejayaan, bukan sahaja kejayaan di dunia malah kejayaan di akhirat. Aku ingin mereka bisa menjadi kelompok modal insan yang mampu menyalurkan pemodenan tanpa mengenepikan islam sebagai panduan hidup.....mudah-mudahan.
Bila anak-anak tahun 6 ini menduduki peperiksaan, murid-murid tahap 1, dicutikan. hanya murid tahun 4 dan 5 yang akan hadir secara bergilir-gilir. Jadi, ketika ini aku agak lapang dalam membereskan segala tugasan sekolah yang memang tidak akan habis sehingga kepenghujungnya. Siapa kata tugas guru itu mudah? Tidak kira dia itu guru di sekolah rendah, maupun guru disekolah menengah.......amanah seorang guru itu cukup besar untuk dipikul. Guru bisa mendidik, mentarbiah seterusnya mencurah segala ilmu yang bermanfaat kepada anak didiknya. Justeru itu setiap guru itu perlu menjadi rolemodel yang terbaik buat anak didiknya. Alasannya? Rata-rata anak didik mudah mendengar kata guru berbanding kata ibu dirumah. Puteriku sendiri, bila guru kata begitu, begitulah yang akan dia ikut. Tetapi kalau mamanya kata begini, ada sahaja jawapannya. Itulah penangan seorang guru!
Berbalik kepada suasana sekolah yang cukup kondusif, tenang dan mendamaikan, aku berusaha keras menyiapkan segala bidang tugas yang sudah lama menanti untuk disiapkan secara berperingkat. Biarpun cara aku bertugas agak lambat pada firasatku, seperti seekor kura-kura, tetapi aku puas kerana tugas-tugasku dapat diselesaikan dengan mudah. Bermula dengan menanda buku-buku latihan kerja murid, mengemaskini fail panitia, membuat buletin, memantau keadaan bilik rawatan dan seterusnya musolla al-Firdausi...waduhhhhh!!!!! mampukah aku? Namun , bagiku satu, andai urusanku dengan Allah dapat kuberesi dengan sebaik-baiknya, insya Allah pertolongan Allah itu pasti datang.....dan yang sukar pasti menjadi mudah.
Namun dalam kesibukan tugasan sekolah, aku cuba untuk berlaku adil terhadap tugasanku sebagai seorang isteri dan ibu dirumah. Kerana itu semenjak anak-anak semakin membesar, aku seboleh-bolehnya akan cuba untuk tidak membawa tugasan disekolah ke rumah. Walaupun kadang-kala bawa juga...tapi bergantung kepada mana yang lebih utama untuk disiapkan.Aku mengerti bahawa anak-anakku juga memerlukan perhatian serta sokongan pembelajaran dari mama mereka. Memang ada sesetengah teman mengatakan tidak sempat menjenguk perkembangan pelajaran anak-anak kerana terlalu sibuk dengan tugasan mendidik anak-anak disekolah, malah ada yang mengatakan tawakal sajalah...insya Allah , Allah akan tolong anak kita sebagaimana kita mendidik anak-anak didik disekolah. Aku tidak mahu memberi komentar terhadap pendapat ini, kerana ini adalah sebahagian daripada prinsip hidup mereka.....yalah, buat baik pasti dibalas baik......Tetapi bagiku, tidak salah kalau aku menambah perkataan Usaha disebalik kata-kata tawakal.....mudah-mudahan hasilannya lebih baik dari yang baik.....insya Allah.

No comments:

Memories....