Saturday, August 20, 2011

Tentang Hernia.......


ANDA perasan, ada benjolan sebesar telur puyuh di celah kelangkang. Benjolan itu timbul semasa anda batuk, bersin, berdiri, berjalan, berlari atau melakukan aktiviti fizikal lain.

Namun, ia tidak kelihatan seolah-olah bersembunyi dan menghilangkan dirinya apabila anda berbaring mahupun terjaga dari tidur pada waktu pagi keesokan harinya.

Lazimnya, ia tidak mendatangkan apa-apa kesakitan, cuma rasa agak kurang selesa, malah ada benjolan yang masuk semula dengan sendirinya.

Kanak-kanak mempamerkan simptom klasik – kelihatan resah gelisah dan sering menangis sambil teriakannya diiringi dengan benjolan tenggelam timbul, selalunya pada bahagian pusat.

Benjolan itu makin ketara apabila si comel menggeliatkan tubuhnya. Perutnya pula kelihatan kembung. Benjolan yang ditolak secara lembut agar memasuki dinding otot semula biasanya berjaya memulihkan keadaan.

Jika gagal, segeralah berjumpa doktor kerana dibimbangi isi hernia terjerut sehingga menyebabkan gangguan peredaran darah yang boleh mengancam nyawa bayi anda terutamanya jika benjolan menjadi keras dan bayi (khususnya enam bulan ke bawah) mengalami muntah-muntah.

Anda mungkin pernah mendengar orang tua-tua bercakap tentang angin pasang, uluran dan burut. Inilah dia. Pakar-pakar perubatan pula memanggilnya sebagai hernia.

Walaupun namanya boleh sahaja membayangkan seorang perawan dengan rupa paras yang menarik, hakikatnya lebih ramai lelaki yang menghidapi hernia, 1:10.

Pakar Pembedahan dan Endolaparoskopi, Hospital Pakar Putra (Batu Pahat), Johor, Dr. Chan Kin Yoong berkata, hernia merupakan satu lubang atau kelemahan otot pada bahagian badan hingga mengakibatkan kandungan dalaman badan menonjol keluar.

‘‘Kecacatan otot di badan boleh terjadi sejak kelahiran, dikenali sebagai hernia kongenital manakala jenis acquired melibatkan kerosakan otot badan disebabkan oleh kecederaan, pembedahan atau tekanan dalam badan berpunca daripada batuk berkali-kali, angkat berat, sembelit dan sukar membuang air kecil.

‘‘Bahagian badan menonjol keluar apabila seseorang itu mengemut atau berdiri. Kalau komplikasi terjadi, perut akan mengembung, sakit, muntah dan tidak boleh buang air besar,’’ ujar beliau.

Nama penyakit ini berasal dari bahasa Latin, herniae, yang bererti penonjolan isi suatu rongga melalui tisu nipis yang lemah pada dinding rongga itu.

Dinding rongga yang lemah itu membentuk suatu kantung dengan pintu berupa cincin. Gangguan ini sering terjadi di bahagian perut dengan isi yang keluar berupa bahagian dari usus,

Menurutnya, umum beranggapan bahawa hernia merupakan gangguan kesihatan yang hanya terjadi di kalangan individu yang telah lanjut usia. Padahal, ia juga boleh terjadi pada kanak-kanak dan lebih sering dialami kaum Adam berbanding Hawa.

‘‘Ini terjadi kerana adanya perbezaan proses perkembangan alat reproduksi lelaki dan wanita semasa janin.

‘‘Pada janin lelaki, testis (buah zakar) turun dari rongga perut menuju skrotum (kantung kemaluan) pada bulan ketujuh hingga kelapan usia kehamilan.

‘‘Lubang yang berupa saluran itu akan tertutup menjelang kelahiran atau sebelum anak mencapai usia setahun. Ketika dewasa, bahagian itu dapat menjadi titik lemah yang berpotensi mengalami hernia,’’ kata Dr. Chan.

Pesakit sering mengeluh adanya benjolan yang tidak menyakitkan namun cukup mengganggu, bergantung berapa besar penonjolannya. Penonjolan muncul kerana adanya kelemahan anatomi pada otot dinding perut, menyebabkan penonjolan di tempat yang lemah.

Keadaan menjadi lebih parah apabila ada dorongan akibat peningkatan tekanan di dalam rongga perut. Misalnya, akibat meneran ketika buang air, batuk, bersin atau mengangkat bebanan berat.

Pada bayi dan anak-anak, hernia merupakan keadaan bawaan sejak lahir (kongenital) dan berisi cairan dan tidak semestinya hernia inguinal yang berisi bahagian usus.

Mengulas lanjut, katanya, hernia pada kanak-kanak terjadi oleh kerana hubungan antara rongga perut dan kantung kemaluan, yang merupakan tempat testis bergerak turun dari rongga perut ke kantung kemaluan ketika bayi masih dalam kandungan.

Pada orang dewasa, hernia terjadi disebabkan dua faktor utama.

‘‘Pertama, adanya otot dinding rongga, misalnya perut yang lemah. Kedua, dorongan yang menyebabkan tekanan di dalam rongga perut meningkat. Biasanya hernia pada orang dewasa ini terjadi pada usia lanjut kerana pada umur tua otot dinding rongga perut melemah.

‘‘Seiring pertambahan usia, organ dan tisu tubuh mengalami proses kemerosotan. Pada wanita, kegemukan juga dapat memungkinkan timbulnya bahagian yang lemah.

‘‘Keadaan-keadaan tersebut, jika ditambah dengan faktor kedua tadi, dapat mengakibatkan usus terdorong ke dalam bahagian yang lemah tadi lalu menonjol ke luar,’’ jelasnya.

Kebiasaan merokok, penyakit yang mengenai tisu dan diabetes melitus juga dapat mempengaruhi timbulnya hernia. Ketiga-tiganya mempunyai kaitan dengan gangguan metabolisme pada tisu.

Dalam kes hernia ringan, bahagian usus yang keluar dapat masuk kembali ke rongga perut jika pesakit berbaring atau didorong sendiri oleh pesakit.

Berita buruknya apabila hernia sudah masuk ke tahap takterturunkan. Pada peringkat ini, isi hernia yang keluar tidak boleh masuk kembali meskipun ditolak dari luar.

Terang Dr. Chan: ‘‘Kita juga perlu waspada jika cincin hernia berdiameter kecil. Bila sudah ada usus yang keluar ditambah tekanan rongga perut yang meningkat, bahagian usus dapat keluar lebih banyak.

‘‘Jika berterusan begitu tanpa rawatan, ia boleh menjadi hernia inkarserat. Bahagian usus yang terjulur keluar tidak dapat kembali ke tempat asalnya.

``Atau menjadi hernia tercekik kerana usus yang terkeluar tadi dapat mengalami pembusukan dan mati akibat tidak mendapat bekalan darah (gangren).’’

*Rawatan

Hernia pada orang dewasa seelok-eloknya ditangani seawal mungkin. Bila didiamkan dan bertambah parah, nyawa mampu menjadi taruhannya.

‘‘Terapinya tak ada jalan lain, kecuali pembedahan,’’ tegas Dr. Chan. Tidak ada ubat yang dapat menyembuhkan kerana puncanya melibatkan keadaan anatomi yang melemah atau mengalami kelainan.

Pembedahan untuk menangani hernia ini merupakan yang kedua paling kerap selepas operasi apendiks.

Di kalangan orang dewasa, pembedahan dilakukan untuk menutup lubang dan memperkuatkan bahagian yang lemah. Otot perut dirapatkan menutupi lubang yang ada.

Pada zaman dahulu, pembedahan dilakukan dengan menempatkan pesakit dalam posisi kepala di bawah agar isi hernia masuk kembali ke rongga perut oleh graviti bumi.

‘‘Pembedahan tidak harus segera kecuali bagi hernia inkarserat dan tercekik, ia harus segera dilakukan. Jika tidak, bahagian isi hernia yang terjerut boleh membusuk dan menjadi sumber infeksi ke seluruh dinding usus (peritonitis). Akibat yang lebih buruk adalah kematian,’’ katanya.

Setelah operasi, ada sesetengah pesakit mengadu bahagian yang dibedah seperti tertarik dan berasa nyeri (sakit seperti ditusuk jarum).

Untuk mengatasi keluhan tadi, kini tersedia jala sintetis yang dikenal dengan mesh.

Selain pembedahan konvensional, kini terdapat rawatan menggunakan teknik bedah laparoskopi yang menawarkan beberapa kelebihan, antara lain, luka surgeri yang kecil sehingga mempengaruhi penyembuhan yang lebih cepat.

‘‘Pada kanak-kanak yang belum mencapai usia satu tahun, biasanya pembedahan tidak dipertimbangkan kerana lubang diharap akan tertutup sendiri selaras tumbesarannya.

‘‘Namun, jika setelah berusia setahun lubang masih terbuka, doktor akan menganjurkan surgeri kerana kalau dibiarkan, lubang dapat bertambah besar. Ketika anak mulai berjalan dan semakin aktif, lubang tadi dapat terus membesar akibat dorongan terus-menerus.

‘‘Akibatnya, tidak hanya cairan yang keluar, usus pun dapat keluar, sehingga berlanjutan menjadi hernia,’’ ujar Dr. Chan sambil menambah, pada kanak-kanak, tindakan hanya ditujukan untuk menutup lubang.

Terapi tanpa bedah berupa pemakaian penopang hanya bersifat menyokong, sama sekali tidak memperbaiki hernia itu, apalagi menyembuhkannya.

Cara ini diperuntukkan bagi pesakit yang menolak pembedahan atau keadaan yang tidak mengizinkannya untuk dibedah.

Namun, untuk penderita yang menolak pembedahan, keadaan penyakitnya boleh memasuki tahap lanjut dan akhirnya tetap memerlukan pembedahan.

Malangnya, pada keadaan ini, surgeri akan menjadi lebih sukar, apalagi kalau sampai isi hernia tidak boleh dimasukkan kembali atau membusuk.




Saturday, July 9, 2011

Cerita Abang Muaz.....






Assalamualaikum......

Salam ramadhan buat semua .......syukur, hari ini masuk 21 hari kita berpuasa. Alangkah singkatnya masa, kerana Ramadhan bakal menutup tirainya. Sewaktu kecil dulu, bila tiba mingu-minggu terakhir, mama sudah sibuk menghitung hari menanti lebaran, namun setelah usia masuk ke fasa dewasa......lebaran hanya buat anak-anak, namun sedihnya mama kerana Ramadhan akan berakhir.....moga mama sekeluarga berpeluang meniti lagi Ramadhan akan datang bersama-sama insan tersayang......:)

Opsss...bukan mahu bercerita pasal raya, tetapi ingin memanjat kesyukuran tidak terhingga kerana abang Muaz kini semakin sembuh dan sihat setelah melalui minor operation bagi menutupi lubang Hernianya pada 1 Julai 2011 (Jumaat ) yang lalu. Syukur semuanya berjalan dengan lancar dan selamat. Abang Muaz seorang yang kuat semangat. Walaupun Hernianya berjaya dikesan ketika usianya 5 tahun, akhirnya hasrat menutupnya telah tercapai. Syukran buat suami dan keluarga yang banyak memberi sokongan dan pandangan serta doa teman-teman SK Bandar Pontian. Terima Kasih juga buat Dr. Miss Lai, Pakar pediatrik & surgeri di Puteri Specialist Hospital, Johor Bharu. Bagi mama dan abah, wang bukan segalanya.....

Alhamdulillah, sepanjang Ramadhan ini juga abang Muaz berjaya menyahut seruan untuk berpuasa. Biarpun mama tahu kadang-kala emosi Muaz agak terganggu dek kerana ujian makan dan minum yang dibuat oleh Nukman, Muaz tetap mahu meneruskan puasa walaupun rengekan, tangisan untuk berbuka itu hinggap ditelinga mama. Namun mama tahu Muaz mampu selesaikan rukun islam yang ke-3 itu dengan baik. Mama percaya, disebalik hikmah Ramadhan ini, tubuh badan Muaz akan bertambah baik......insya Allah.

Aku terkenang......





Assalamualaikum.....

Kenangan menghantar rombongan pengantin di daerah Muar semasa cuti sekolah yang lalu......time tu Auni dah berusia 3 bulan dah.....seronok bila hantar pengantin perempuan bertandang ke rumah pengantin lelaki.....terimbau kenangan 14/10/ 2001 di Taman Damai, Pontian , Johor......kenangan paling manis bagi seorang wanita apabila disunting menjadi suri bagi seorang jejaka yang amat dicintai......indah....indah....oh, indah........moga keindahan itu akan berkekalan sehingga ke syurga.......bak kata ustaz Hasrizal.....bercinta sampai ke syurga.......ya, cinta mama pada sang suami........

( selamat pengantin baru puan hairiah dan suami.....)

Wednesday, July 6, 2011

Kisah si budak cumil...

Auni dan daisy headband merah...kembang setaman......

Lena princess ni dalam dakapan mama setelah kenyang menyusu sehinggakan bunyi paluan kompang yang membingit telinga dan mendebar dada tidak dihiraukan.....


Oho...di PSH selepas rutin pertemuan bulanan bersama Dr. Ismail Haron......


Apa yang direnungkan tu Auni..........? Meh share with mama.......


Sudah pandai menghisap jari....enak katanya......:))


Assalamualaikum.....

Si cumil ini telah berusia 4 months++. Syukur alhamdulillah.....semakin sihat, embam, mulut yang ramah- tamah, senyuman yg sentiasa manis dan paling penting pengguna setia si susu ibu.

Biarpun mama masih diperingkat "SPM", namun mama amat bersyukur kerana Allah masih mengurniakan rezeki buat Auni. Setakat ini, Auni masih belum keputusan bekalan, baik fresh milk atau EBM ketika di rumah pengasuh. Jika di rumah, Auni setia df bersama mama....berborak bersama, menggengam jemari yang halus sambil berbicara dan bertentang mata serta Auni bisa mendengar degupan jantung mama yang Auni rasakan seperti sebuah melodi. Indahnya saat itu, Auni.....sudah pasti, suatu hari nanti mama akan merindui momen manis ini sebagaimana mama amat merindui saat mengandungkan dan melahirkanmu. Mama jua amat bersyukur kerana mak Normah ( pengasuh Auni dan abang Nukman ) amat memahami tentang kebaikan susu ibu serta pandai menguruskannya ketika mama keluar bekerja. Mudah-mudahan Allah memberkati kehidupan mak Normah sekeluarga kerana sudi mencurah kasih seketika pada anak2 mama.

Kesabaran itu perlu menggunung tinggi. Jika kita mudah berputus -asa, matlamat dan cita2 ini pasti akan gugur sebelum sampai ke penghujungnya. Inilah sebahagian pengalaman buat mama sepanjang berusaha menyusukan Auni secara esklusif. Mama perlu lebih prihatin agar penyusuan ini berjaya. Jujurnya mama mengakui sementelah usia yang semakin meningkat, kadang-kala penghasilan susu agak berkurangan dek kekacauan hormon kerana usia dan keletihan. Namun mama tak berputus-asa, kerana difikiran mama, mama menggalas satu tanggungjawab yang besar.......mama perlu berusaha dengan apa cara sekalipun agar mama berjaya menghasilkan air susu yang banyak buat Auni. Mama perasan, apabila kita sentiasa berfikiran positif, rehat yang cukup, tidak stress, makan banyak kurma dan sentiasa berdoa, air susu mama akan mencurah-curah banyaknya. Syukur alhamdulillah.

Mama juga amat berterima kasih kepada mama 2 KIM kerana ruangan ini telah membuka keazaman buat mama. KIM umpama medan perkongsian ilmu, tak rugi rasanya mama menjadi sebahagian daripada mereka. Mudah-mudahan pengorbanan kita ini Allah kurniakan buat kita semua dengan anak2 yang soleh dan solehah.........

Sehingga kini mama masih meneruskan penyusuan sepenuhnya dan tidak putus berharap agar Auni boleh merasai nikmat susu mama sehinggalah usianya mencapai 2 tahun sebagaimana kakak Hanan , abang Muaz dan abang Nukman.....insya Allah. Somoga Allah kurniakan rezeki buat kita bersama duhai puteriku Auni.........

KELEBIHAN MEYUSUKAN ANAK

Apabila telah lahir anak lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap satu tegukan daripada susunya diberi satu kebajikan.

( sehingga ntri ini ditulis, Auni sudah pandai meniarap dan membuat pusingan jam dengan jaya dan majunya.....syabas ya binti mumtazah.....! )

Friday, June 17, 2011

kisah cuti sekolah......






Assalamualaikum.....

Agak lama mama menyepi setelah hampir 2 bulan kembali bertugas.....maklum, bila sudah naik sahaja daripada cuti yang agak panjang, banyak kerja2 baru yang harus dibereskan dan difikirkan. Sementelah badan pun sudah letih bila kembali ke rumah.

Sekadar mengimbau kembali kenangan santai bersama anak2 dan suami nan tercinta. Cukup dapat melepaskan rindu mereka pada sang air di Tiram Wonderland ( mungkin ejaannya begitu ). Moga kegembiraan itu terpahat kukuh diingatan anak2.......bahawa kenangan bersama mama dan abah adalah yang paling manis buat kalian......

Monday, June 13, 2011

Penyusuan susu ibu.....

Bekalan susu ibu

Ramai ibu ingin mengetahui bagaimana memastikan bayi mendapatkan susu yang cukup. Mereka juga khuatir sama ada mereka mampu memenuhi keperluan bayi dengan secukupnya.Kuantiti susu yang dihasilkan bergantung kepada kekerapan bayi menyusu. Apabila bayi menghisap puting ibu, hujung saraf deria di dalam payudara ibu akan dirangsangkan oleh kilang pituitari yang terletak di bawah otak.

Hormon prolaktin akan dikeluarkan ke dalam saluran darah. Hormon ini akan merangsang payudara untuk menghasilkan susu. Oleh itu semakin kerap bayi menghisap semakin banyak susu akan dihasilkan.Hormon yang kedua ialah oksitosin dan homon ini membuat sel-sel di sekeliling alveoli dan salur kecil susu mengecut. Pengecutan sel-sel susu ini akan menyebabkan pancutan susu melalui puting. Ibu akan berasa tegang dan perit pada puting payudara. Perasaan sedemikian disebut rangsangan pengaliran susu.

Benarkah Susu Ibu Tidak Mencukupi?
Ada ibu yang berasakan bekalan susunya tidak cukup untuk bayinya. Perasaan begini selalu terjadi apabila ibu tidak dapat mengenal pasti keadaan bayinya. Ibu berperasaan begini di sebabkan oleh faktor berikut :

1. Ibu mendapati bayinya kerap menyusu. Keadaan ini menyebabkan ibu berasakan bekalan susunya tidak mencukupi. Sebenarnya keadaan ini menunjukkan bayi endapat bekalan susu yang mencukupi. Bayi juga berkeadaan begini kerana naluri hisapannya kuat. Susu ibu cepat dicerna. Ini menyebabkan bayi cepat lapar dan ingin menyusu dengan kerap. Bayi juga kerap menyusu kerana dia memerlukan belaian dan dakapan ibunya yang membuatkannya rasa selamat dan selesa. Belaian mesra dan mendengar degupan jantung ibu membuatkan bayi rasa tenteram di alam barunya. Keperluan begini tidak akan berlarutan selamanya kerana bayi akan membesar dan biasa dengan alam sekelilingnya. Oleh itu kekerapan bayi menyusukan tidak akan menyebabkan bekalan susu ibu tidak cukup.
2. Ibu sering membandingkan kekerapan menyusu dan berat bayinya dengan bayi yang lain. Ada ibu berpendapat berat badan bayinya yang kurang atau bayinya yang kecil serta tidak kerap menyusu disebabkan oleh bekalan susunya tidak mencukupi. Ibu tidak perlu bimbang jika keadaan bayinya sedemikian kerana saiz dan keperluan susu seorang bayi adalah berbeza. Tentukan sahaja bayi anda sentiasa sihat dan cergas.

Sebab Kurangnya Penghasilan Susu IbuIbu mungkin menghadapi masalah kekurangan susu. Kurangan ini mungkin berpunca daripada :
1. Bayi tidak kerap menyusu. Kekerapan bayi menyusu menentukan penghasilan susu ibu. Semakin kerap bayi menyusu semakin banyak susu yang dihasilkan. Sebaik-baiknya ibu menyusukan bayi setiap 2 jam.
2. Ibu yang mengalami masalah sakit puting atau puting pendek selalunya menggunakan sarung puting (nipple shield). Penggunaan sarung puting menyebabkan lambatnya tindak balas atau rangsangan pengaliran susu setiap kali bayi menyusu.
3. Ada ibu yang menetapkan jadual menyusu bagi bayinya. Penetapan jadual menyusu ini juga menjejaskan penghasilan susu ibu.
4. Menyusukan bayi di sebelah payudara sahaja juga mengurangkan bekalan susu ibu. Oleh itu ibu perlu memberikan susu dari kedua-dua belah payudaranya kepada bayi supaya bekalan susu yang cukup dan berterusan dapat dihasilkan.
5. Kesihatan ibu juga penting dalam penghasilan susu. Terlalu letih dn terganggu juga akan menjejaskan tindak balas pengaliran susu ibu. Oleh itu ibu perlu memastikan mempunyai masa rehat yang cukup.
6. Pengambilan ubat-ubatan juga mempengaruhi penghasilan susu. Ubat-ubatan selalunya selamat untuk ibu yang menyusukan bayi. Walau bagaimanapun ada juga ubat-ubatan yang mengganggu penghasilan susu. Oleh itu jika ibu mendapat rawatan doktor, maklumkan kepada doktor bahawa anda sedang menyusukan anak. Ibu yang membuat IUD mungkin menghadapi masalah kekurangan susu kerana IUD mengandungi hormon yang menyebabkan susu berkurangan.
7. Kurang air boleh menjejaskan penghasilan susu. Ibu yang menyusukan anak perlu minum sekurang-kurangnya 6-8 gelas sehari. Amalkan minum air sebelum menyusukan bayi. Minum air yang tidak mengandungi banyak gula.
8. Makan makanan yang seimbang. Elakkan makan makanan yang mengandungi kandungan gula yang tinggi. Ibu yang menyusukan anak mungkin selalu berasa lapar. Anda boleh kerap makan tetapi dalam kuantiti yang sedikit. Makanan yang tidak seimbang boleh menyebabkan kekurangan susu ibu. Ibu terlalu berpantang semasa dalam tempoh berpantang selepas bersalin juga boleh menyebabkan kekurangan penghasilan susu.

Saturday, June 4, 2011

Gejala tersedak susu dikalangan bayi.......

Assalamualaikum...

Mama terpanggil untuk share bersama mommies2 di luar sana tentang masalah ini. Semakin lama kejadian seperti ini semakin menjadi2...malah ianya amat menggusarkan para ibu yang berkerja khususnya.....doa mama, semoga anak2 mama, serta anak2 mommies diluar sana sentiasa dipelihara Allah swt sepanjang kita ikhlas mencari rezeki......

بسم الله على الله لا حول ولا قوة الا بالله على العظيم


KES kematian akibat menyusu ketika tidur bukan sesuatu yang baru. Hampir setiap bulan, kemalangan disebabkan tersedak susu atau tercekik makanan dilaporkan media yang kebanyakannya berlaku di pusat penjagaan kanak-kanak.

Ia sesuatu yang cukup malang apabila bayi yang baru saja mengenal dunia tidak dapat meneruskan kehidupan dek kelalaian ibu bapa atau penjaganya sendiri. Belum lagi dengan emosi si ibu dan bapa yang tidak dapat menerima hakikat kehilangan anak tersayang disebabkan kecuaian.

Menurut Pakar Kanak-Kanak, Pusat Rawatan Islam Az-Zahrah, Bandar Baru Bangi, Dr Nik Rosenorleyaney Nik Ibrahim, kes kematian akibat menyusu ketika tidur atau sedar berpunca daripada bayi yang ditinggalkan menyusu bersendirian tanpa pengawasan.

Apabila seorang bayi tertidur semasa sedang menghisap botol susu, susu itu akan terus mengalir membuatkan bayi tersedak dan susu akan terus masuk ke saluran pernafasan dan paru-paru mereka.

"Dalam tubuh manusia, terdapat dua saluran iaitu pernafasan pada bahagian hadapan manakala saluran makanan pada bahagian belakang. Apabila bayi minum dalam keadaan tergesa-gesa atau mungkin lubang puting botol yang terlalu besar, susu akan terus mengalir tanpa henti ketika bayi tertidur.

"Sudah tentu bayi tidak mempunyai daya untuk menarik botol itu sendiri menyebabkan susu memasuki saluran pernafasan, seterusnya ke dalam paru-paru. Apabila ini berlaku, biasanya bayi akan tersedak atau batuk iaitu tindakan refleks yang menunjukkan bayi memerlukan pertolongan atau perlindungan.

"Namun, bagi bayi yang ditinggalkan berseorangan, sudah tentu tidak mendapat maklum balas menyebabkan bayi lemas kerana tidak dapat bernafas. Walaupun bayi tersedak susu dalam jumlah yang amat sedikit, ini sudah cukup untuk melemaskan mereka.

"Dalam masa beberapa saat saja jika tidak diberi bantuan kecemasan segera, bayi akan terus meninggal dunia," jelasnya mengulas beberapa kejadian yang berlaku, baru-baru ini.

Tambahnya, sebagai penjaga sama ada pengasuh atau ibu bapa, amalan meletakkan kain atau bantal untuk menyokong botol susu kemudian mereka meninggalkan bayi minum sendirian tidak sepatutnya berlaku.

Ini kerana, ia boleh meningkatkan risiko bayi lemas. Sepatutnya, ibu bapa dan pengasuh menyusukan bayi mereka dengan cara yang betul.

"Ketika menyusu tidak kira susu botol atau susu badan, pastikan kedudukan kepala bayi lebih tinggi daripada dada dan perutnya. Botol susu pula mesti dipegang dalam kedudukan tidak lebih 45 hingga 60 darjah supaya air susu tidak tersekat pada tekak dan menyebabkan bayi lemas.

"Pastikan juga lubang puting botol tidak terlalu besar bagi mengelakkan angin masuk ke dalam perut bayi. Sekiranya menyusu badan, pastikan kawasan puting masuk sepenuhnya ke dalam mulut bayi.

"Elakkan memberi susu dengan meletakkan bayi di atas lantai, sebaiknya pangku bayi seperti mana teknik menyusu badan. Selepas menyusu, sendawakan bayi untuk mengeluarkan angin dan mengelak bayi muntah ketika tidur," katanya.

Selain bayi, kanak-kanak berusia tiga tahun ke atas juga boleh mengalami sesak nafas disebabkan tercekik makanan seperti kacang atau gula-gula. Ini disebabkan mereka makan sambil bermain dan akhirnya makanan itu masuk ke dalam saluran pernafasan, seterusnya ke bahagian paru-paru.

Sama seperti kes tersedak susu, jika tidak diberi rawatan segera, mangsa akan terus meninggal dunia.

Menurut Dr Nik Rosenorleyaney, bagi mengelak bayi meninggal dunia akibat tersedak susu atau tercekik makanan, ibu bapa dan penjaga perlu mempunyai pengalaman melakukan rawatan kecemasan di rumah.

"Sekiranya bayi tersedak susu atau tercekik makanan, segera angkat bayi, kemudian tepuk belakang mereka beberapa kali dengan cara membiarkan muka ke bawah atau meniarapkan bayi di atas lutut kemudian tepuk belakang bayi sehingga makanan atau cecair keluar dari mulut bayi dan bayi menangis seperti biasa.

"Ini menandakan mereka sudah boleh bernafas. Bagi bayi yang tercekik makanan, sekiranya makanan yang ada dalam mulut kanak-kanak tidak keluar, korek sehingga mereka terbatuk atau memuntahkan makanan itu.

"Tindakan ini perlu dilakukan segera dalam satu minit pertama sebelum mangsa dibawa ke hospital. Dikhuatiri kelewatan melakukan bantuan kecemasan ini akan menyebabkan anda kehilangan orang yang tersayang," katanya.

Selain tersedak susu dan tercekik makanan, kebanyakan kematian mengejut membabitkan bayi dan kanak-kanak berpunca daripada sindrom goyangan bayi, tidur meniarap dan kecederaan bilik mandi.

Ramai ibu bapa tidak tahu hayunan di dalam buaian boleh menyebabkan gegaran pada otak bayi. Ini kerana di dalam otak bayi masih mempunyai ruang di antara tengkorak dan otak. Gegaran yang kuat akan menyebabkan berlakunya pendarahan, seterusnya menyebabkan kematian.

"Kebanyakan ibu bekerja menggunakan buaian untuk memudahkan kerja. Namun ada yang menggoyang terlalu kuat mengikut irama suara anak, semakin kuat anak menangis, hayunan lebih kuat. Sebaiknya ajar anak tidak menggunakan buai atau membiarkan buai tidak bergerak

"Ini termasuk sama ada buaian biasa atau elektrik yang turut memberi risiko sama," katanya yang mengakui biasanya kes yang dirujuk di hospital menunjukkan bayi tidak mengalami demam atau sawan tetapi meninggal secara tiba-tiba.

Daripada imbasan dijalankan, didapati berlaku pendarahan otak yang sukar diselamatkan.

Tambahnya, ada juga kes bayi yang meninggal ketika tidur yang boleh dikategorikan sebagai sindrom kematian mengejut. Ini berlaku bagi bayi yang tidur meniarap.

"Menidurkan bayi secara meniarap boleh menyebabkan bayi lemas dan akhirnya meninggal dunia secara tiba-tiba. Ini berlaku bagi bayi yang masih belum berupaya mengangkat dan memusingkan kepala sendiri. Biarkan bayi tidur terlentang bagi mengelak lemas.

"Pastikan alas digunakan lembut dan tidak tenggelam. Elakkan penggunaan selimut kerana turut memberi risiko sekiranya kain itu menutupi muka bayi," katanya.

Perkara yang jarang diambil perhatian ialah keselamatan di bilik mandi. Sekiranya anak sudah pandai merangkak dan berjalan, sentiasa pastikan pintu bilik air tertutup dan tiada baldi atau besen berisi air.

Walaupun air di dalamnya hanya berisi enam inci, ia sudah cukup melemaskan bayi sekiranya muka bayi termasuk di dalamnya dan seterusnya menyekat saluran pernafasan.

Ibu bapa bekerja yang menghantar anak ke pusat penjagaan kanak-kanak harus memastikan pusat penjagaan itu mempunyai sijil yang sah juga pengasuh berpengalaman yang mempunyai pengetahuan mengenai bantuan kecemasan.

Di samping itu, tinjau kawasan sekitar seperti tandas, dapur, tempat tidur dan tempat bermain yang selamat untuk anak mereka.

Panduan keselamatan ketika di pusat penjagaan kanak-kanak:

> Pastikan pusat penjagaan kanak-kanak tidak menggunakan buai.

> Setiap bayi tidur di dalam katil masing-masing dan diasingkan mengikut usia bagi mengelak bayi terlanggar atau terpijak.

> Menggunakan peralatan tidur yang selamat misalnya tilam yang tegang dan rata supaya bayi senang bergerak.

> Mempunyai peralatan untuk mensterilkan susu sama ada untuk susu formula atau ibu bagi mengelak keracunan makanan.

> Orang yang menyediakan susu adalah orang yang sama. Ini bagi mengelak tertukar susu terutama bagi bayi yang alah dengan susu lembu.

> Pemberian susu botol harus diberikan secara orang perseorangan mengikut posisi menyusu badan. Elakkan memberi susu ketika bayi berbaring.

> Tempat menguruskan bayi harus diasingkan daripada dapur atau memasak makanan di tempat lain kemudian dibawa ke pusat penjagaan kanak-kanak. Ini bagi memastikan kebersihan serta mengelak kanak-kanak bermain dengan peralatan berbahaya di dapur.

> Elakkan penggunaan cerek, sebaiknya gunakan termos yang boleh dikunci.

> Pastikan mainan yang tidak berbucu atau bersegi yang boleh menyebabkan kanak-kanak menggunakannya untuk mengetuk kepala kanak-kanak lain.

> Hanya menggunakan barang permainan yang tidak mempunyai pewarna berbahaya.

> Anak patung haruslah yang mudah dibasuh serta tidak menyebabkan alahan terutama penyakit asma.

Sumber: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ketahuicaraberibantuankecemasan/Article

Memories....