Friday, March 25, 2011

Ahlan wasahlan Ya AUNI HAYATI

Anakku, seharusnya dikau dijangka lahir pada 18/03/2011. Itu jangkaan seorang doktor yang bergelar manusia. Namun segalanya sudah tertulis bahawa dikau lahir pada ketetapan yang telah ditentukan oleh yang maha esa.

Auni Hayati, seindah namamu yang dipilih oleh abah dan mama yang bermaksud "kelembutan kehidupanku", saat usiamu 37 minggu dirahim mama, dikau sudah bersedia untuk berjihad memegang amanah Allah, melihat keindahan dunia ciptaan Allah yang selalu Auni dengar tatkala mama bercerita bersama abang Nukman. Pagi 26/02/11, mama menerima tanda bahawa Auni sudah bersedia untuk lahir. Ketika itu Auni, jam masih menunjukkan pukul 1.15 pagi. Abang Muaz, Nukman dan kakak Hanan sedang lena dibuai mimpi. Abah pula baru selesai menyiapkan assigment masternya. Belum sempat abah melabuhkan badannya, mama terasa sakit. Abah sedikit panic, maklum sajalah hospital yang dipilih untuk melahirkanmu agak jauh , lebih kurang 1 jam perjalanan dari rumah kita. Namun abah dapat atasi situasi ini dengan tenang. Setelah segala persiapan dibuat, perjalanan dimulakan dengan menghantar abang Muaz dan Nukman serta kakak Hanan ke rumah nenek Jun, barulah abah hantar mama ke Puteri Specialist Hospital. Ketika itu jam hampir menunjukkan jam 3 pagi, tenang, sejuk dan jalan raya agak lengang. Sesekali mama dapat rasakan Auni mengeras tanda kontraksi. Sepanjang perjalanan ke PSH, mulut mama tak habis2 membaca ayat suci agar urusan mama pada hari itu dipermudahkan.

Sampai di hospital, abah menemani mama di labour room ditingkat 3. Namun, kuasa Allah lebih segala2nya. Bukaan rahim mama baru sahaja 1.5cm. Mama mengambil keputusan untuk ditahan di wad 319B. Mama membayangkan proses bersalin ini pasti mudah sebagaimana proses melahirkan abang Nukman 3 tahun yang lalu. Jam 4.30 pagi, mama sudah menjadi penghuni baru di wad 319B. Suasana cukup sunyi, sesekali terdengar suara tangisan bayi kecil di bilik sebelah. Alahai indahnya saat itu, mama hanya terfikir, bilalah giliran mama. Sehingga ke subuh, Auni tidak menunjukkan tanda-tanda kontraksi. Jiran sebelah mama yang baru sahaja sampai telah selamat melahirkan bayi lelakinya. Sedih rasa hati mama. Sayu. Syukur abah ada disaat itu. Dialah kekuatan mama. Sehingga ke waktu siang, mama seperti orang biasa. Tidak ada rasa sakit. Malah mama telah meminta daripada Dr. Laila yang bertanggungjawab menyambut kelahiran Auni untuk pulang sahaja ke rumah memandangkan banyak tugasan sekolah yang belum mama beresi. Namun, atas faktor keselamatan, Dr. Laila tidak mengizinkan mama untuk pulang, tetapi sebagai alternatifnya, mama diizinkan untuk pulang " bercuti" selama beberapa jam di rumah nenek di TSP.

Hmmmmm......siapa tak kenal mama. Agak degil mama ni. Berani mengambil risiko. Puas memujuk abah, akhirnya mama bukan pulang ke rumah nenek, tetapi mama pulang ke rumah kita. Saat itu mama berserah dan bertawakal kepada Allah agar semuanya selamat. Seperti yang mama hajati, sampai dirumah, mama memulakan tugas sebagai suri dengan mengemas, menyapu dan membasuh baju, seperti yang mama lakukan sebelum kelahiran abang2 dan kakakmu. Tujuan mama satu, biar kontraksi itu ada saat mama sibuk bekerja.Lagipun, puas hati mama bila balik dari hospital nanti rumah kita bersih Auni!

Seperti yang dijanjikan, jam 8 malam, sekali lagi mama menyerah diri di wad bersalin . Alangkah sedihnya mama kali ini kerana bukaan rahim mama hanya 3cm sahaja. Auni istimewa dirimu nak sehingga mama melalui pengalaman seperti ini. Biarpun rasa sakit itu kerap, namun bukaan rahim mama tetap tidak berganjak. Mama menangis disisi abah, namun abah tetap memberi kata2 semangat dan perangsang buat mama. Betul kata abah, ada hikmah disebalik ujian yang datang. Saat itu mama rasa terlalu dekat dengan abah. Merasai kasih sayang abah sepenuhnya. Menyelami pengorbanan abah dan perasaan abah apabila mama berada di saat genting seperti itu.Dan paling bermakna beginilah nasib yang nenek lalui saat melahirkan mama. Ya Allah , betapa besarnya pengorbanan seorang ibu, justeru itu martabat ibu dikau letakkan syurga itu di bawah tapak kaki ibu. Ibu tiada galang gantinya. Mama juga berkesempatan menghabiskan bacaan surah yasin, maryam beberapa kali.Indahkan Auni? Malah sepanjang malam itu abah sempat menyiapkan assgmntnya. Kasihan melihat abah tertidur di kerusi.

Jam 12.40 malam, mama dijemput oleh jururawat ke labour room. Seperti yang mama jangka, bukaan rahim mama masih tidak berganjak.Atas nasihat Dr. Laila, mama diberi suntikan agar mama dapat tidur dengan lena, tanpa menyedari bukaan rahim mama menganjak ke 5 cm. Memang sakit, tetapi rasa ngantuk itu lebih hebat daripada kesakitan yang mama rasa. Abah pula, peneman yang paling setia. Tidur di sebelah mama berselimutkan tuala hijau. Rasa dingin di bilik itu!

Jam 5 pagi. Kontraksi semakin kuat. Bukaan rahim telah mencapai 8 cm dan serviks mama sudah bersedia untuk melalui proses bersalin. Abah orang yang tidak putus2 memberi kekuatan buat mama. Hati mama berdoa agar Auni lahir lebih mudah daripada abang Nukman. Jururawat yang bertanggungjawab sudah sedia untuk menyambut kelahiran Auni. Begitu juga Dr. Laila. Hampir 2 jam mama melalui rasa sakit kontraksi. Tetapi yang anehnya, sakitnya masih boleh tertahan. Tidak seperti kelahiran sebelumnya. Mungkin kerana kecanggihan dan alternatif lain yang disediakan oleh pihak PSH bagi meringankan rasa sakit para ibu yang bersalin membuatkan mama masih boleh mengawal keadaan. Saat melayan rasa sakit kontraksi yang semakin kuat, azan subuh telah berkumandang. Abah terpaksa meninggalkan mama sebentar bagi menunaikan amanah Allah. Mama berdoa, agar abah sempat untuk menyaksikan kelahiran Auni di dunia ini. Syukur alhamdulillah, akhirnya tepat jam 6.42 pagi, Auni lahir dengan selamat bersaksikan abah, mama, jururawat dan Dr. Laila. Keperitan yang mama tanggung terubat apabila mendengar tangisan Auni dan melihat sendiri Auni dibersihkan disebelah mama. Tak tahu mama nak luahkan perasaan itu. Biarpun Auni bukan kelahiran pertama, tetapi setiap kehamilan dan kelahiran anak2 mama adalah kenangan terindah buat mama. Paling terindah dan tak mungkin mampu dijual beli.

Anakandaku Auni, seberat 2.99 dikau paling kecil dan mulus di antara abang2 dan kakakmu. Kelahiranmu amat kami nantikan......tiada apa yang mama dan abah harapkan, melainkan dikau bakal menjadi permata hati yang solehah, taat akan perintah Allah, rasulmu, mama dan abah, serta berjaya dalam kehidupanmu di dunia jua di akhirat. Auni Hayati, semoga kesihatan mengiringimu, moga dikau menjadi harta paling berharga buat mama dan abah apabila mama dan abah memejamkan mata buat selama2nya. Yasmin, Muaz, Nukman dan Auni dikaulah permata mama dan abah.Mama sayang anak2 mama.

Friday, March 18, 2011

Fabayer......

Febuari 2011 sudah beberapa minggu melabauhkan tirainya. Rasanya terlalu banyak memoir yang berlaku di bulan Fabayer ini. Sudah tentu banyak post yang ketinggalan. Biarlah mama ceritakan satu persatu bermula di awal Febuari.

Sannah Helwah ya baba......moga abah dikurniakan kesihatan yang baik , keberkatan rezeki, kebahagiaan bersama mak, anak2, menantu serta cucu2 yang menjadi penyeri keluarga dan keturunan kita. Begitulah, saban tahun, setiap kali tibanya 01 Febuari, abah pasti akan belanja makan ahli keluarganya. Kalau tahun lepas abah belanja kami di Setubong, tahun ini abah belanja kami di restoran makanan laut di Impian Emas. Itulah abah, baginya hari lahir adalah hari berkumpulnya anak2, menantu dan cucu. Tergambar kegembiraan abah malam itu, lebih2 lagi bila Uda bawakan birthday kek untuk abah manakala menantu kesayangan abah mengetuai bacaan doa selamat. Rasa2nya malam itu kita sekeluarga menjadi tumpuan mata pelanggan yang datang kesitu.Bukan untuk menunjuk tetapi itulah gambaran kegembiraan dari hati seorang abah. Rasa gembira dan bahagia bila tengok abah gembira........Moga kebahagiaan dan keceriaan ini selamanya menjadi milikmu abah, insya Allah.


Hadirnya 02 Febuari saban tahun mengingatkan aku pada kematian. Syukur alhamdulillah tatkala kelopak mata dibuka, jantung masih boleh berdegup,menghirup nafas tanda syukur yang tidak berbelah bagi atas nikmat usia yang masih lagi dipinjamkan olehNYA. Berkesempatan untuk bersama -sama mereka yang tersayang. Menghargai dan menyayangi.Berbakti selagi hayat dikandung badan agar apa yg dipersembahkan hari ini akan menjadi persembahan yang terbaik di akhirat kelak. Tahun 2011 , aku tidak mengimpikan apa2 hadiah istimewa. Bagiku cukup yang ada. Aku bersyukur dengan nikmat yang kuperolehi ini sehingga kadang2 aku amat takut dengan ujian nikmat ini. Mudah2an kami senantiasa menjadi hambanya yang bersyukur.......amin.Namun, "abang" tetap membuat kejutan. Apakah hadiah itu? Biarlah ianya rahsia. Cukup sekadar JMS 6014. Hadiah yang diberi tidak ternilai dengan kasih sayang yang diberinya. Sesungguhnya aku cukup bahagia bersamanya.

sayang ku..
Aku hanya seorang suami
yang menerima setulus hati seorang isteri.

Janji yang termeterai di musim yang lalu.
Salam ku hulur buat menyapa hatimu nan luhur.

Bersamalah kita harungi derita yang datang.
Bersatulah kita tempuhi nikmat yang bertandang.
Denai perkahwinan pasti dihujani air mata.
Biar kita rasa: Rupanya kebahagiaan rumah tangga itu sangat tinggi maharnya.

Isteri ku sayang…
Tidak abang tagihkan setiamu, sesetia Hawa kepada Adam.
Atau kerinduan menggila Laila yang sangat dalam.

Cuma terimalah kehadiranku seadanya
di sudut tersuci di dalam hatimu…..sebagai seorang isteri sejujur hati.

Hari ni 2.2.2011, adalah hari yang bermakna buat orang yang tersayang iaitu isteriku. abang ucapkan selamat hari lahir yang ke 33, moga dengan ulang kelahiran ni diiringi dengan azam yang baru, abg doakan agar lela dipanjangkan umur, dimurakan rezeki serta di permudahkan segala urusan dunia dan akhirat.

abang.


Ucapan di pagi 2.2.2011 ini adalah yang paling bermakna bagiku....terima kasih sayang.

Monday, February 14, 2011

Setiap detik adalah kenangan........

Kata orang pengalaman itu guru kehidupan. Tanpa pengalaman manusia tidak mampu mempelajari dan memeperbaiki kehidupan ke arah yang lebih sempurna. Pengalaman itu juga mendidik kita agar menjadi insan yang lebih positif , proaktif dan sabar dalam menangani pelbagai cabaran yang bakal mendatang dalam detik-detik kehidupan.

Tiada kemanisan tanpa pengalaman, begitu juga ada kepahitan kerana pengalaman. Begitulah hari-hari yang saya lalui sebagai seorang pendidik. Kenangan bergelar sebagai pendidik hampir 8 tahun, mengajar saya banyak erti sabar. Bermula sebagai guru sandaran di sekolah menengah di SMK Tunku Abd. Rahman Putra, Kulai, dan ketika itu saya diberi peluang mengajar Geografi serta sejarah bagi ting. 2 kelas pertama. Rasa seronok kerana dapat mengenali anak2 yang tekun dan sentiasa menghormati guru. Terasa seolah2 mereka teman ketika itu.

Perjalanan sebagai GSTT diteruskan lagi. Mengutip banyak pengalaman di SMK Skudai. Menjadi guru kelas serta mengajar subjek bahasa Melayu. Ketika itu, subjek itu sudah hampir sebati dalam jiwa saya. Maklum bahasa adalah subjek kegemaran saya. Di situ saya diberi amanah mengajar dari kelas pertama, pertengahan dan terakhir. Maklum jika sudah dinamakan smk gelagat anak2 didik pelbagai kaum menyukarkan saya mendampingi mereka. Apatah lagi kelas2 terakhir.Saya pernah menangis dibelakang anak2 didik ini. Merasai kelemahan diri sebagai seorang pendidik, namun saya perlu akur, bahawa sebagai GSTT saya tidak pernah diberi peluang mempelajari teknik psikologi dan pedagogi. Namun apa yang berlaku saya jadikan sebagai detik terindah dalam kehidupan dan itulah pengalaman paling bermakna dalam hidup saya.

Perjalanan saya sebagai pendidik tidak ternoktah disitu sahaja. Peluang menyambung pengajian keperingkat diploma pendidikan KPLI menempatkan saya di sekolah rendah. SK Taman Universiti 3 adalah SK pertama saya. Mulanya saya hampir tension apabila menerima gelagat anak2 cilik yang pelbagai ragam. Mungkin ketika itu saya menghadapi kejutan budaya. Daripada sekolah menengah turun ke sekolah rendah. Namun, alhamdulillah, tekad dan semangat mendampingi mereka menjadikan saya lebih selesa mendampingi anak2 kecil ini sehinggalah ke hari ini. Inilah yang dinamakan betapa sucinya hati anak2 kecil ini. Mereka tidak pernah berdendam, malah mereka mampu dan menegur guru yang telah memarahi mereka dengan rasa penuh ikhlas. U3 menggamit memori yang paling indah buat saya. Saya perlu berjuang bangun seawal mungkin untuk ke sana. Maklum, ketika itu, saya sudah berpindah ke kediaman sendiri di daerah Pontian. Bermula dengan menaiki bas ekspress seawal jam 5.30 pagi, kemudian menanti kak Rudhita di depan Taman Sri Pulai sebelum ke sekolah, semuanya mengajar saya erti tabah! Aduh, kadang-kala, bila teringat kenangan itu saya boleh menitiskan air mata. Masakan tidak, pengalaman menaiki bas di awal pagi terlalu lama, lebih kurang 4 tahun. Ketika itu saya pernah mengandung anak kedua. Namun saya amat bersyukur dikurniakan teman-teman seangkatan yang amat memahami situasi saya ketika itu.
Rezeki Allah tiada siapa yang tahu. Sehabisnya saya dari kursus KPLI, suami membuat kejutan dengan menghadiakan saya sebuah viva yang banyak berjasa. Kali ini pergerakan saya amat mudah. Kebetulan tahun 2009 Yasmin Hannani, puteri sulongku sudah masuk ke darjah satu. Memang niat saya ingin membawanya, memandangkan jika dia bersekolah di Pontian , tiada siapa yang akan mengurusnya.
Putaran masa , keadaan dan situasi menjadikan saya akur dan menerima bahawa saya tidak boleh selamanya berada di U3. Bukan kerana bebanan tugas, malah saya seronok kerana diberi peluang berada di bawah naungan para pentadbir yang cukup profesional, lebih-lebih lagi Pn. Hjh. Zabidah bt. Idris. Memandangkan anak-anak semakin membesar, memerlukan lebih perhatian, saya memohon pertukaran di daerah suami yang tidak pernah saya terfikirkan selama ini.............. dan akhirnya penghujung 2009 , takdir saya berada di Sk Pekan, Pekan Nenas untuk mengutip satu pengalaman baru.



Bersama teman-teman di SK Pekan Dis 2009 - Dis 2010. Ketika sambutan hari guru. SKPN menyimpan banyak kenangan. Disinilah saya membuka langkah menubuhkan kumpulan nasyid Al-Firdaus serta melatih mereka untuk MTQ bersama-sama kak Ramona. Biarpun ketika itu SKPN mendapat tempat ke-3, namun saya bersyukur di atas kesungguhan anak2 didik saya.
Setiap petang Jumaat adalah momen terindah buat kami guru2 sesi petang di SKPN. Acara makan2 bertukar juadah menjadikan kami lebih akrab. Itulah manisnya guru2 petang, dan disinilah saya mengenali kak Dewi, dayah, Sue, Ilhami , kak Is dan ramai lagi.

Gambar kenangan hari2 terakhir sebelum saya meninggalkan SK Taman Universiti 3. 2004 - 2009 , terlalu lama saya mengutip pengalaman disini. Teman-teman sudah semacam adik-beradik. Kami terlalu rapat. Memang sedih untuk meninggalkan U3, namun itulah yang dinamakan putaran roda kehidupan. Kenangan bersama Cik Na, kak juwina( sudah berpindah ke Kulai ), Radhiah, Ct, dan Midah (telah kembali kenegeri cik wan kembang ).



Kehidupan tetap diteruskan. Lembaran 2011 menjadi saksi bermulanya episod baru bagi insan bernama Lela. Setelah cuba berjuang, akhirnya rezeki Allah telah mentaqdirkan saya di SK Bandar Pontian. Sekolah yang agak hampir dengan kediaman. Syukur segala bebanan yang pernah saya pikul selama ini semakin berkurangan. Doa saya mudah-mudahan kerjaya dan kehidupan saya semakin baik disini...amin. Mungkin terlalu awal untuk saya menterjemahkan situasi disini, namun apa yang boleh saya perkatakan, mengajar disini, mengingatkan saya semula kepada U3. :) Ketika ini, saya hanya menghitung hari untuk melahirkan permata hati saya yang ke-4. Moga-moga naik berpantang, SK Bandar Pontian berubah wajah dengan kehadiran bangunan baru yang bakal siap..................

Friday, November 19, 2010

Dunia remaja hanya sekali.....

Assalamualaikum...

Selamat bercuti buat seluruh anak2 didik yang dikasihi serta warga guru bagi sesi persekolahan 2010. Mudah-mudahan cuti yang ada, dimanfaatkan dalam mencari hiburan yang diredhoi serta berusaha memperbaiki diri. Itulah namanya hamba yang dirahmati....

Bila dah masuk cuti, tangan mula menggatal melihat FB yang kadang2 dibuka, maklum mengikut kesempatan masa. Bila dah berkerjaya dan berkeluarga, macam2 kekangan yang harus dilalui dan semestinya adalah kos lepas...mana mungkin kita mampu mengurus semuanya. Inilah dia kelemahan manusia. Sempat juga saya meninjau gambar2 anak2 didik yang kini semakin meningkat remaja. Aduhai.....saya rasa sedih sangat. Kenapa ya?

Anak saya yang sulong bertanya : Ma, kenapa dia pakai macam ni? Mama dia tak marah ker? Apa perlu saya jawab? Senang saja, saya jawab : Bila besar, kalau kakak pakai macam ni, lepas tu mama nampak dalam mana2 blog atau Fb, balik asrama je mama rotan! Sempat pulak dia menepis : Kenapa mama nak rotan? Jawabku ringkas : Sebab kakak tak tutup aurat, sblum Allah Sebat, biar mama sebabt kakak dulu......

Bila saya melihat gambar2 ini, saya terkenang pada memori 22 tahun yang lepas. saya juga pernah tinggal di sebuah asrama. kalau dah nama asrama, macam2 gaya manusia yg bakal kita jumpa. Biasalah, bila akhir tahun, pasti ada jamuan akhir tahun yang akan dijalankan di dorm. Kira ikut kreativiti memasinglah. Time tu tengah muda, macam2 kita buat, berposing sakan dengan gaya macam2. Buat macam2 aktiviti pun ada. Tapi masih lagi terbatas kesemuanya.

Begitu juga ketika menuntut di luar negara. saya memang suka bergambar.Bagi saya, setiap detik bersama kawan2 adalah kenangan. Ketika itu adalah gambar yang tutup dan tidak menutup aurat. Tapi, bila tahun akhir, kami akan buka album sama2. Gambar2 yang togel tanpa bertudung, kami pakaikan tudung, atas alasan : nanti bila suami korang tengok gambar ni, taklah berdosa.....bijak sungguh idea kakak senior tu.

Apapun, bagi saya tidak menjadi kesalahan bagi remaja2 untuk berhibur, tapi ada syarat dan batasnya. Saya bukanlah seorang yang terlalu mengongkong atau "syadid" . Apapun yang agama kita suruh dan larang, semuanya ada kebaikan untuk diri dan masyarakat islam umumnya. Buat anak2 didik ustazah, pastikan bila kalian berhibur, pilih hiburan yang tidak melalaikan. Jangan mudah mengikut budaya barat. Aurat, peliharalah, walaupun kita sesama perempuan, kita masih ada batas yang perlu dijaga. Kita juga hidup dalam masyarakat melayu yang menitik beratkan tentang norma kesusilaan dan kesopanan. Tak salah nak melaram, pastikan gambar itu disimpan sebagai koleksi peribadi sahaja. Usah di jaja sehingga seluruh mata yang bukan mahram dapat melihat kamu. Setiap mata yang melihat aurat kamu , setiap kali itulah doasa kamu akan bertambah!

Saya tahu, dunia remaja hanya sekali...ia tidak akan berputar kembali. Cetusan saya ini adalah cetusan dari hati seorang guru dan ibu. Saya juga punya anak perempuan. kadang2 takut bagaimana dia melalui zaman2 mendatangnya. Benarlah kata2 orang tua, menjaga anak perempuan bukan senang, lebih baik menjaga sekandang lembu. Wanita itu lemah, emosinya juga lemah. Sebab itu, golongan inilah yg lebih banyak hanyut dizaman ini. Kerana cinta, maruah tergadai, lahirlah anak luar nikah yang dibuang merata, kerana culas menjaga aurat, mereka ini jugalah yg menjadi mangsa rogol, kerana putus cinta, golongan ini jugalah yg banyak membunuh diri, kerana pujukan nafsu syaitan , golongan ini jugalah yang ramai hanyut dalam cinta terlarang. Astaghfirullahhala'zim.....mudah2mudahan sebagai seorang perempuan yang bergelar ibu, kita harus jihad dan kuat menjaga anak2 kita agar mereka terpelihara menjadi anak yang soleh dan solehah. Bukankah doa anak yang soleh/solehah itulah penyambung kpd. bekalan kita selepas kita meninggal dunia? Ayuh sama2lah kita fikirkan.......

Thursday, November 11, 2010

Masih lagi aku terkenang........


Salam kembali....Hampir 5 bulan Diary hati Mama kesunyian...pasti teman2 yang sentiasa melayari blog sendiri dan mempunyai link bersama saya tertanya-tanya ke mana menghilangnya mama ini. Insya Allah, hari ini mama akan memulakan celoteh pertamanya setelah lima bulan menyepikan diri.
Banyak perkara yang tidak terduga berlaku dalam tempoh 5 bulan kebelakangan ini. Buat semua, mama baru sahaja betul2 sihat setelah hampir 4 bulan stgh mengalami "morning sickness" untuk kehadiran insan baru pada 2011, inSya Allah. dalam tempoh tersebut memang tak larat nak buat serba-serbi. Manja agaknya orang yang kat dalam tu.
Hehehe...harap2 belum terlewat memaparkan sebahagian gambar kenangan pada Syawal yang lepas. Tahun ni raya pertama di Pontian, maklum suami tersayang di amanahkan menjadi imam hari raya . Begitulah kalau sudah menjadi anak jati di daerah sendiri. Semasa raya, sebenarnya masih belum pulih sepenuhnya. Tapi disebabkan raya terpaksalah memakai make-up bagi menutupi kekusaman dan kepucatan muka yang sememangnya tak sanggup untuk saya lihat sendiri. Atas tu gambar puteri sulong saya bersama jejaka idaman malaya Nukman yang sentiasa happy.


Wajah baru rumah...heheheh mengandung ni macam2 nak. Tak suka balik rumah sendiri, jadi suami risau apalagi buatlah sikit renovation..katanya biar saya suka balik rumah...taklah lepak rumah mak aje.



Sempat beri senyuman ala2 control sebab beraya dirumah sedara -mara....time tu rasa macam nak tido jek.....



Tema tahun ni ala2 coklat.


Inilah insan2 tersayang saya yang sentiasa menjadi kekuatan buat diri saya.....usrati jannati wa mahbubati....

Thursday, May 20, 2010

Salam Hari Ibu......

Mak mertua ( Hjh. Siti binti Hussein )



Selamat Hari ibu buat semua ibu, mama, umi, mummy dan apa sahaja yang selayaknya dipanggil. May datang lagi...hari ibu menjanjikan betapa romantisnya saat2 manis bagi seorang insan, wanita, yang bergelar ibu. Saya juga seorang wanita yang dipanggil mama oleh 3 orang permata hati saya. Saya juga merasai nikmat bergelar ibu.Jerih payah...hanya Allah yang tahu. saya juga merasai saat-saat manis, apabila anak-anak membuat kejutan buat saya!

Saya juga hadir di dunia kerana seorang ibu. saya juga bertemu dengannya juga kerana seorang ibu. Betapa pentingnya 2 insan istimewa ini dalam hidup saya. Ibu, dan mak mertua saya. Dua tokoh ibu yang amat saya sanjungi. Walaupun masing-masing mempunyai karektor yang berbeza, hasilannya tetap sama. Sabar, lembut dan tabah......itulah mereka. Yang mungkin saya sendiri tidak mampu menandingi mereka.

32 tahun saya bersamanya. Bermula dirahim ibu, saya dilahirkan dengan penuh perjuangan. Menuntut syahid! Demi rasa cinta, saya dibelai dengan penuh kasih sayang. Biarpun adik-beradik lima orang, mak tak pernah berbahagi kasih di antara kami. walaupun saya seorang anak perempuannya. Saya di didik berdikari, memegang amanah sebagai yang sulong di antara adik berdikku. Wanita yang cukup tabah melalui perjalanan hidupnya. Biarpun kami tak semewah mana, namun kami bersyukur dapat bernanung dengan penuh kebahagiaan. Cukup serba-serbi. Mak seorang yang tegas dalam mendidik. Tegas dalam kelembutan. Itu yang membuatkan saya sentiasa rapat bersamanya. Sehari tidak mendengar suaranya, gelisah rasa hati. Entahkan sihat, entahkan tidak...sebab itu, setiap hari saya mesti telefon mak. Minat mak sama macam saya. Mungkin didikan mak menjadikan saya begini. Dekorasi, bunga-bungaan, barang kemas, perabot jati adalah himpunan hobi kami yang sama. Kira macam anak omaklah ni......

Sekali pandang, nampak seperti garang! Pertama kali saya dipertemukan setelah tamat kuliah, saya takut untuk bertentang mata dengannya. Manalah tahu, mungkin saya bukan menantu pilihan. Setelah berkahwin, saya serumah dengan mak mertua. Seorang wanita cekal, masih berkerjaya sebagai businesswoman. Yang menjadikan saya betul2 serasi dengan mak mertua adalah minat kami yang sama. Dia seorang ahli ibadah yang cukup hebat. Zikir, quran tidak pernah lekang dari bibirnya. Sebab itu murah rezekinya. Solat hajat, tahajud, Dhuha sudah sebati dalam dirinya. Saya juga cuba berusaha sepertinya. Mana tahu, suatu hari nanti saya juga mampu seperti itu.

Walau apapun mereka, saya amat menyayangi mereka. Mereka berdua ikon ibu mithali bagi saya. Jauh di sudut hati, saya mendoakan agar mereka berdua beroleh kebahagiaan di dunia dan akhirat. Semoga kesabaran mereka di dunia, diganjari syurga oleh yang esa, sebaris bersama umahatul mukminin......amin....



Ibuku ( Pn.Junaidah binti Hj. Paujan )

Thursday, May 6, 2010

Part 1 ....Al-Firdaus

Al-quran dan sunnah pemangkin kemajuan ummah....


Dunia ini
Beronak duri
Menggegar jiwa ........

Iman dan taqwa pendinding diri
Membawa ketenangan disanubari....

Zaman berzaman , penuh godaan
kepada tuhan minta dijauhkan
Iman di dada tunggak kemajuan
Membentuk diri, insan yang beriman.....

Di zaman ini banyak yang terjadi..
Runtuhnya akhlak , iman muda-mudi
Rosak binasa, empayar diri..
Menjadi mangsa, syaitan dilaknati
Rosak binasa, empayar diri
menjadi mangsa syaitan dilaknati

Dalam, pencarian
ilmu hakiki
Quran dan sunnah panduan rohani
Nafsu dilentur
Mengabdi diri
Kepada yang esa....
Rabbul Izzati.........

Ayuh bersama memartabatkan bangsa
Rasul mulia junjungan ummah
Tanpa sunnahnya punahlah semuanya
Dunia kelam, tiada sinaran cahaya purnama...

Quran dan sunnah
Pemangkin maghfirah..
Penyuluh ummah
Kekal hidup, bahagia.......

Al-Quran wa sunnah
kallu'luil maknun
Yakunu autad linnajahi ummah....

Al-Quran dan sunnag umpama mutiara
menjadi teras..kemajuan ummah...
Menjadi teras....... Kemajuan....Ummah.......


Lirik : ustazah Lela

Memories....